Awalnya disangka nahas biasa, tidak diduga ragut nyawa ibu bapa

Iklan
Suami isteri maut manakala dua anak perempuannya cedera selepas terbabit kemalangan di Kluang pada Jumaat.

BATU PAHAT - Anak kepada pasangan yang maut dalam nahas di KM 72.5, Jalan Batu Pahat-Mersing semalam tidak menduga kejadian yang pada awalnya disangkakan sebagai kemalangan biasa rupa-rupanya telah mengorbankan ibu bapanya.

Ain Zanariah Mislan, 33, berkata, dia mendapat perkhabaran kereta yang dinaiki ibunya, Nor Azilah A Rahman, 49, dan ayahnya, Mislan Osman, 54, telah bertembung dengan lori ketika dalam perjalanan pulang dari Endau, Mersing, setelah menghantar neneknya.

Iklan
Iklan

Ain Zanariah berkata, ketika menerima panggilan itu pada kira-kira 5.30 petang, dia berada di tempat kerja sebelum suaminya, Mohd Hazerul, 33, memberitahu ibu dan ayah telah tiada manakala dua adiknya yang turut berada dalam kereta jenis Hyundai Matrix tersebut mengalami kecederaan.

"Pada mulanya saya menyangka ia kemalangan biasa…suami cuba menghubungi telefon bimbit adik tetapi orang lain yang jawab dan menyatakan ibu serta ayah telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Iklan

"Saya dimaklumkan individu yang menjawab telefon adik merupakan pemandu yang betul-betul berada di belakang kereta mereka. Kami juga ada membuat panggilan video dengan individu berkenaan dan paling sebak apabila melihat sendiri keadaan ibu bapa kami yang tersepit di dalam kereta yang mereka naiki,” katanya ketika ditemui di kediamannya, di Kampung Parit Pulai di sini hari ini.

Ain Zanariah berkata, seminggu sebelum kejadian, bapanya dilihat kerap mengemas rumah termasuk menyapu dan memotong rumput di halaman, sedangkan aktiviti itu bukan kebiasaan yang dilakukannya.

Iklan

"Arwah ayah dalam masa seminggu ini dia membersihkan kawasan rumah dengan sebersih-bersihnya, menyapu, memotong rumput dan sebagainya…seolah-olah dia tahu ramai orang akan datang ke rumah,” katanya.

Semalam, media melaporkan pasangan suami isteri maut manakala dua anak perempuan mereka cedera parah dalam kemalangan membabitkan sebuah kereta dan lori di KM 72.5, Jalan Batu Pahat-Mersing.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisoner Bahrin Mohd Noh berkata kemalangan kira-kira 5 petang itu membabitkan sebuah lori dipandu lelaki berusia 34 tahun dari arah Kluang menuju Kahang dan sebuah kenderaan Hyundai Matrix dari arah bertentangan.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati kereta Hyundai Matrix yang dipandu lelaki tempatan berusia 54 tahun itu dipercayai hilang kawalan akibat keadaan jalan licin sebelum memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan lori terbabit. - Bernama