KUALA LUMPUR - Seorang pekerja warga Bangladesh maut selepas tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di Kampung Melayu Kepong, di sini pada Selasa.
Mangsa berusia 34 tahun itu ditemukan pasukan bomba pada jam 5.14 petang selepas operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan di lokasi kejadian.
Iklan
Iklan
Komander Operasi, Timbalan Penguasa Bomba II Mohd Hafizan Hassan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 2.45 petang.
Menurutnya, seramai lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jinjang bersama sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dikejarkan ke lokasi.
"Setibanya di lokasi pada jam 2.55 petang, didapati berlaku kejadian tanah runtuh dan hasil pemeriksaan awal mendapati seorang pekerja tertimbus di bawah runtuhan tanah.
"Pasukan operasi kemudian menjalankan kerja-kerja penggalian dan pengalihan tanah bagi mengesan serta menyelamatkan mangsa dengan bantuan jentera pengorek (excavator) serta kerjasama agensi lain," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Beliau berkata, mangsa berjaya ditemukan pada jam 5.14 petang sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.