KUALA LUMPUR - Seorang jurulatih kecergasan meminta pihak polis memberikan penjelasan mengenai perkembangan siasatan terhadap akaun Instagram jefri_yayan yang didakwa mengugut pempengaruh media sosial, Caprice dan keluarganya sebelum ini.
Tindakan itu bagi memastikan keadilan serta namanya dibersihkan daripada sebarang kaitan dengan akaun berkenaan.
Peguam kepada Syed Mohammad Murad Syed Naseem atau dikenali sebagai Murad Zaidi, Aizzat Mustafa berkata, anak guamnya tidak mempertikaikan tindakan atau siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM), sebaliknya berharap kes berkenaan dapat diselesaikan dan individu sebenar yang mengendalikan akaun terbabit dikenal pasti.
Menurutnya, Murad Zaidi sebelum ini disiasat berhubung akaun berkenaan sebelum polis memaklumkan secara bertulis pada 26 November tahun lalu bahawa kes terhadapnya diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA).
"PDRM telah mengesahkan perkara itu masih dalam siasatan, apa yang Murad Zaidi mahukan ialah penjelasan mengenai perkembangan siasatan dan, jika dikenal pasti, identiti individu yang mengendalikan akaun tersebut.
"Anak guam saya tidak meminta maklumat sulit yang boleh menjejaskan siasatan, beliau hanya mahu siasatan yang dimulakan lebih setahun lalu diselesaikan dengan sewajarnya dan individu sebenar yang bertanggungjawab dikenal pasti," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Media pada 1 September lalu melaporkan, saman fitnah difailkan jurulatih Syed Mohammad Murad Syed Naseem atau lebih dikenali sebagai Murad 'Baddestcoach' Zaidi terhadap pempengaruh media sosial Caprice atau nama sebenarnya Ariz Ramli diteruskan dengan perbicaraan penuh selepas kedua-dua pihak gagal mencapai penyelesaian secara baik di Mahkamah Tinggi di sini.
Peguam, Datuk M Reza Hassan yang mewakili Murad Zaidi berkata, kes itu tidak dapat diselesaikan melalui proses mediasi berikutan anak guamnya tidak bersetuju dengan syarat penyelesaian yang dicadangkan.
Murad Zaidi memfailkan saman fitnah pada 4 Ogos lalu dengan mendakwa defendan telah memuat naik hantaran palsu serta berniat jahat yang menggambarkan beliau terbabit aktiviti jenayah dan jenayah terancang.
Akibat hantaran yang dimuat naik itu, plaintif mendakwa reputasi dan maruahnya telah tercemar, dan menyatakan defendan mempunyai pengaruh besar di Instagram dengan lebih 1.5 juta pengikut.
Pada 8 November tahun lepas, Mahkamah Tinggi merekodkan perintah persetujuan yang mengarahkan Caprice menurunkan dan menarik balik serta-merta sembilan kenyataan fitnah terhadap Murad Zaidi yang dimuat naik di akaun Instagram miliknya.
Perintah itu direkodkan selepas Caprice sebagai defendan bersetuju untuk patuh dan berjanji tidak menerbitkan semula, mengedar semula atau menyebarkan mana-mana kenyataan itu dalam sebarang bentuk.
Menurut draf perintah persetujuan, pempengaruh itu juga bersetuju untuk tidak membuat sebarang kenyataan atau representasi serupa terhadap Murad Zaidi.
Berikutan itu, Murad Zaidi menarik balik permohonan injunksi interimnya terhadap defendan tanpa perintah mengenai kos. Bagaimanapun, saman fitnah utama terhadap Caprice diteruskan.
Sementara itu, Murad Zaidi dalam kenyataan sebelum ini berkata, beliau mahu kes itu diteruskan dengan perbicaraan penuh bagi membersihkan nama serta memulihkan reputasinya yang didakwa terjejas teruk dan berharap keadilan dapat ditegakkan
Sementara itu, Aizzat berkata, Murad ditahan pada 11 Julai tahun lalu bagi membantu siasatan, manakala telefon bimbitnya dirampas dan kediamannya turut digeledah.
Katanya, beberapa individu yang mempunyai kaitan dengan jurulatih kecergasan itu turut dipanggil bagi membantu siasatan.
Menurut beliau, Murad sejak awal menafikan dirinya sebagai pengendali akaun jefri_yayan dan memberikan kerjasama penuh kepada pihak polis sepanjang siasatan dijalankan.
Bagaimanapun, katanya, PDRM menerusi maklum balas bertarikh 18 September lalu mengesahkan kes asal berkaitan ugutan itu masih terbuka dan dalam siasatan.
Aizzat menjelaskan, Murad tidak mendakwa polis menghentikan siasatan, sebaliknya hanya mahu mengetahui perkembangan kes terbabit selepas lebih setahun laporan dibuat.
Menurutnya, penjelasan berhubung perkara itu penting kepada anak guamnya kerana dakwaan yang mengaitkannya dengan akaun terbabit sebelum ini memberi kesan terhadap reputasinya.
"Dakwaan itu memberi kesan serius terhadap anak guam saya dan reputasinya. Kini selepas tiada tindakan lanjut diambil terhadapnya, beliau mahu kedudukan itu direkodkan dengan tepat," katanya.
Dalam pada itu, Aizzat turut meminta penjelasan mengenai pendirian semasa Caprice, termasuk sama ada pempengaruh berkenaan masih mengaitkan Murad dengan akaun terbabit atau menerima sebarang maklumat lanjut berhubung siasatan.
Kes berkenaan bermula pada 7 Julai tahun lalu selepas akaun Instagram jefri_yayan didakwa memuat naik komen berunsur ugutan termasuk merujuk kepada kematian dan peluru terhadap Caprice serta keluarganya.
Murad kemudian membuat laporan polis berkaitan perkara tersebut selepas menafikan dirinya sebagai individu yang mengendalikan akaun berkenaan.
"Jika Murad bukan individu yang dikenakan tindakan lanjut, persoalan mengenai siapa sebenarnya di sebalik akaun jefri_yayan masih belum terjawab," katanya.
Aizzat berkata, anak guamnya berharap siasatan berkenaan dapat diselesaikan sewajarnya supaya kedudukannya dalam kes tersebut dapat diperjelaskan dan namanya tidak lagi dikaitkan dengan akaun berkenaan.