AMPANG - Mayat seorang lelaki ditemui dalam keadaan tertiarap tanpa sebarang pakaian di kawasan parkir LRT Pandan Jaya, di sini pada Rabu.
Mayat lelaki yang identitinya masih belum dikenal pasti itu ditemukan kira-kira jam 7.30 pagi.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Khairul Anuar Khalid berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung penemuan lelaki berkenaan daripada anggota kereta peronda (MPV).
Beliau berkata, pemeriksaan awal di lokasi mendapati lelaki terbabit berada dalam keadaan tertiarap dan tidak sedarkan diri.
"Mangsa kemudiannya disahkan meninggal dunia oleh Penolong Pegawai Perubatan dari Hospital Ampang.
"Mayat telah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Ampang bagi tujuan bedah siasat untuk mengenal pasti punca sebenar kematian," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Katanya, orang ramai yang mempunyai ahli keluarga atau kenalan lelaki dilaporkan hilang dan masih belum ditemui diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya di talian 03-42897222 bagi membantu proses pengecaman.