KUALA LUMPUR - Keupayaan Kapal Misi Pelbagai Guna Pertama (MPMS 1) untuk beroperasi lebih lama di laut dijangka membolehkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) melaksanakan pengawasan dan penguatkuasaan secara lebih berterusan, khususnya di kawasan berkepentingan strategik.
Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata, keupayaan itu menjadikan MPMS 1 sebagai aset yang dapat meningkatkan daya tahan operasi agensi dalam menghadapi cabaran keselamatan maritim yang semakin kompleks.
"Keupayaan MPMS 1 untuk beroperasi lebih lama di laut membolehkan Maritim Malaysia memperkukuh pengawasan dan penguatkuasaan secara lebih berterusan, khususnya di kawasan berkepentingan strategik.
Beliau berkata demikian susulan pelancaran MPMS 1 di Desan Shipyard, Türkiye pada Jumaat yang disempurnakan Menteri Dalam Negeri Malaysia, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bersama Menteri Dalam Negeri Türkiye, Mustafa Çiftçi dan Menteri Industri dan Teknologi Türkiye, Mehmet Fatih Kacır.
Menurutnya, MPMS 1 direka sebagai platform pelbagai misi bagi melaksanakan pengawasan dan penguatkuasaan maritim, operasi mencari dan menyelamat (CARILAMAT), bantuan kemanusiaan, tindak balas bencana serta keperluan operasi lain.
"Pemodenan aset perlu diterjemahkan kepada keberkesanan operasi.
"Tumpuan kita adalah memastikan keupayaan baharu ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya untuk menjaga keselamatan, kedaulatan dan kepentingan negara di Zon Maritim Malaysia,” katanya.
Katanya, kapal berkenaan turut menyokong usaha menangani pencerobohan vesel asing, aktiviti perikanan haram, penyeludupan dan jenayah rentas sempadan selain memperkukuh pelaksanaan operasi CARILAMAT.
Pembinaan MPMS 1 kini mencapai kira-kira 85 peratus dan mendahului jadual yang dirancang.
Sementara itu, pembinaan MPMS 2 mencapai 34.05 peratus berbanding 32 peratus yang dirancang.
MPMS 1 dijangka dibawa pulang ke Malaysia pada awal 2027 dan dirancang menyertai Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi (LIMA) 2027 bagi memperkenalkan keupayaan baharu agensi kepada masyarakat serta komuniti maritim antarabangsa.
Projek berkenaan turut memperlihatkan kerjasama strategik Malaysia-Türkiye dalam industri maritim, termasuk ruang kerjasama lebih luas antara Maritim Malaysia dan Turkish Coast Guard dalam aspek latihan, pembangunan kapasiti, CARILAMAT, perkongsian maklumat serta eksesais bersama.
Pelancaran MPMS 1 di Desan Shipyard itu turut disertai pegawai kanan Kementerian Dalam Negeri, Maritim Malaysia, Kementerian Ekonomi, wakil Kerajaan Republik Türkiye, Duta Besar Malaysia ke Türkiye, Konsul Jeneral Malaysia di Istanbul serta pihak pengurusan Desan Shipyard.