Van polis terbabas, anggota maut tercampak

Iklan
Tangkap layar video menunjukkan keadaan van yang terbabas.

TAPAH – Seorang anggota polis maut selepas tercampak keluar daripada sebuah van polis yang terbabas sebelum merempuh penghadang besi di Kilometer 352 Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan di sini pada Selasa.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 11.35 pagi ketika van jenis Maxus yang membawa 11 anggota polis termasuk pemandu sedang dalam perjalanan dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak ke Melaka.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku selepas tayar belakang kiri van berkenaan pecah secara tiba-tiba.

"Keadaan itu menyebabkan pemandu hilang kawalan sebelum kenderaan terbabit melanggar penghadang besi di bahagian tengah lebuh raya.

Iklan

"Akibat kemalangan itu, beberapa penumpang tercampak keluar daripada kenderaan. Seorang penumpang berusia 26 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala empat lagi mengalami kecederaan parah dan dibawa ke Hospital Slim River untuk mendapatkan rawatan lanjut," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Mohd Alwi berkata, enam lagi mangsa mengalami kecederaan ringan dan dihantar ke Hospital Tapah untuk menerima rawatan.

Iklan

Menurut beliau, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah di talian 05-401 1222.

Katanya, maklumat juga boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Muhammad Najmuddin Zulkarnain menerusi talian 017-325 6140.

Rakaman video kejadian itu turut dikongsikan oleh pengguna lebuh raya di media sosial yang memaparkan van berkenaan melintang di tengah jalan selepas kemalangan.