DATUK Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain bukan calang- calang orang dalam agensi keselamatan negara dan pernah berkhidmat selama 26 tahun dengan Polis Diraja Malaysia.
Pada usia 53 tahun beliau dilantik sebagai Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), sebuah agensi baharu yang ditugaskan jaga pintu masuk negara.
Beliau memiliki Ijazah Sarjana Muda Hubungan Antarabangsa, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), dan Sarjana Sains Pengajian Strategik, Nanyang Technological University (NTU), Singapura.
Pernah bertugas dalam Cawangan Khas, termasuk di peringkat Bukit Aman dan jadi Ketua Polis Pulau Pinang dari 2021 hingga 2023 serta Ketua Polis Kuala Lumpur pada 2023.
Pada 15 Ogos 2023, beliau dilantik sebagai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, menggantikan Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay.
Sebelum menyertai AKPS, beliau juga pernah bertugas sebagai Pegawai Atase Polis di Washington, Amerika Syarikat, dari 2010 hingga 2013.
Pada tahun lalu pernah tular beliau naik angin di hadapan pegawai-pegawai dan anggota penguat kuasa mengenai jenayah Counter Setting yang terus berlaku.
Ia jelas menunjukkan ketegasan beliau untuk memastikan masalah tersebut dapat dikekang sepanjang Mohd Shuhaily jadi bos AKPS.
Kali ini beliau tular lagi susulan satu rakaman litar tertutup (CCTV) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 yang memaparkan beliau memarahi dan bertindak mengasari seorang individu di kawasan larangan.
Dalam sidang akhbar khas menjelaskan insiden tersebut, beliau berkata, “KLIA bukan Selayang" dan menegaskan beliau tidak akan membiarkan pintu masuk utama negara dikuasai oleh sindiket atau lambakan warga asing tanpa izin.
Jadi ramai juga yang bertanya bagaimana rakaman video kejadian itu boleh tersebar dan siapa orang yang bertindak menyebarkannya ?
Jadi pihak AKPS juga telah membuat laporan polis balas berhubung penularan video itu.
Bagaimanapun sebagai seorang yang bertanggungjawab, Mohd Shuhaily sedia tanggung akibat dan menyatakan kesediaan menerima apa sahaja tindakan atau keputusan daripada pihak kerajaan demi mempertahankan integriti tugas pembersihan sempadan negara.
Sebagai seorang pegawai tinggi agensi penguatkuasaan yang tegas seperti Mohd Shuhaily, sudah pasti beliau banyak musuh.
Kita tahu banyak kes yang berlaku di KLIA terutama kemasukan warga asing secara haram dan juga penyeludupan bahan-bahan terlarang walaupun sudah banyak usaha dilakukan.
Nampaknya sindiket yang berakar dekat KLIA bukan calang-calang dan mampu untuk lakukan apa sahaja demi menjayakan perbuatan jenayah mereka
Jadi AKPS kini jadi benteng utama negara untuk halang dan sekat segala macam jenayah daripada masuk ke negara kita.
Disebabkan itulah memang kita perlukan orang- orang macam Mohd Shuhaily untuk jaga kepentingan negara tetapi dengan ketegasan beliau itulah menyebabkan ada pihak yang tak senang dengan dirinya.
*Junhairi Alyasa ialah Pengarang Berita Sinar Harian