KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan penyanyi Bella Astillah bakal berkongsi hari bahagia mereka menerusi majlis 'Kenduri Rakyat' yang dijadualkan berlangsung di Muar, Johor dan Kota Kinabalu, Sabah hujung bulan ini.
Syed Saddiq berkata, penganjuran majlis itu bertujuan"membumikan” perkahwinan mereka agar dapat diraikan bersama-sama masyarakat setempat dengan majlis di Muar akan diadakan pada 25 Oktober ini manakala di Kota Kinabalu pada 31 Oktober.
"Kami mahu memastikan dua 'Kenduri Rakyat' ini dapat diraikan bersama-sama dengan rakyat. Maksudnya, orang kampung semua dijemput untuk menyertai tradisi rewang dan masak bersama-sama.
Beliau berkata, bersempena dengan majlis itu, sumbangan puluhan ribu kilogram beras, santan serta barangan keperluan lain daripada penaja utama bakal diagihkan kepada tetamu yang hadir pada kedua-dua majlis berkenaan.
Sementara itu, Bella Astillah atau nama sebenarnya Dayang Nabellah Awang Astillah, 32, berkata tetamu yang hadir ke 'Kenduri Rakyat' di Muar digalakkan memakai pakaian bersesuaian, termasuk busana tradisional Johor seperti Baju Melayu Teluk Belanga.
"Bagi majlis di Kota Kinabalu, tetamu digalakkan mengenakan busana tradisional mengikut etnik dan kaum masing-masing di Sabah,” katanya.
Pasangan itu dijadualkan bernikah pada 10 Oktober ini di Menara 118 di sini, disusuli majlis resepsi di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) pada 18 Oktober.
Bella Astillah sebelum ini pernah mendirikan rumah tangga dengan penyanyi kelahiran Singapura Aliff Aziz dan dikurniakan dua cahaya mata, iaitu Mohamad Ayden Adrean, 9, dan Ara Adreanna, 6. - Bernama