SHAH ALAM - Dakwaan ruang Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung bersuara dalam parti disekat menjadi punca beliau meletak jawatan wakil rakyat, adalah tidak tepat dan tidak menggambarkan keseluruhan keadaan sebenar.
Timbalan Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Bryan Ng Yih Miin berkata, Chean Chung yang sebelum ini menganggotai Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR mempunyai ruang untuk mengemukakan pandangan, bertanya dan berbeza pendapat dalam mesyuarat kepimpinan parti.
Namun, Bryan Ng mendedahkan Chean Chung tidak menghadiri kebanyakan mesyuarat MPP sejak November 2025.
Menurutnya, Chean Chung juga kemudian memilih untuk meletakkan jawatan sebagai anggota MPP PKR pada Jun lalu, sebelum keahliannya dalam parti digantung selama tiga tahun pada 30 September.
Sebelum ini, Chean Chung mengumumkan peletakan jawatan tanpa syarat sebagai Ahli Parlimen Petaling Jaya berkuat kuasa Jumaat, selepas secara rasmi menyerahkan surat peletakan jawatan kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Dr Johari Abdul pada Khamis.
Chean Chung sebelum itu mendakwa penggantungannya daripada PKR menyebabkan beliau tidak lagi mempunyai ruang untuk berbahas atau menyatakan pendirian dalam parti, selain mendakwa akses kepada peruntukan kawasan Parlimen Petaling Jaya turut terjejas.
Bagaimanapun, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat berkata Chean Chung sudah hampir setahun tidak melibatkan diri dalam urusan parti termasuk tidak menghadiri mesyuarat dan kongres parti.
Bryan berkata, mesyuarat MPP merupakan antara forum utama kepimpinan PKR yang turut dihadiri Presiden parti, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama pimpinan pusat termasuk menteri dan timbalan menteri daripada parti itu.
Katanya, pelbagai isu nasional, dasar kerajaan dan perkara semasa dibincangkan dalam forum tersebut, sekali gus memberikan ruang kepada anggota pimpinan untuk mengemukakan pandangan serta membawa isu kepada perhatian kepimpinan tertinggi.
Dalam perkembangan sama, Bryan mendakwa perkara berkenaan turut berlaku dalam isu membabitkan penduduk Petaling Jaya, khususnya berkaitan mitigasi banjir dan Rancangan Tempatan Petaling Jaya (RTPJ).
Beliau mendakwa Chean Chung yang dijemput menghadiri mesyuarat berkaitan isu berkenaan bersama Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) tidak menghadiri kebanyakan mesyuarat tersebut.
"Kalau benar mahu selesaikan masalah rakyat, hadir dahulu di meja penyelesaian. Rakyat mahukan penyelesaian, bukan sekadar gimik,” katanya.
Menurut Bryan, RTPJ merupakan proses penting yang menentukan hala tuju pembangunan Petaling Jaya termasuk penggunaan tanah, trafik, kemudahan awam dan perancangan masa depan bandar.
MBPJ kini sedang menyediakan Draf Rancangan Tempatan Petaling Jaya (Penggantian), dengan proses itu dilaksanakan mengikut peruntukan Seksyen 12A, Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172).
Portal rasmi MBPJ menyatakan proses tersebut antara lain bertujuan menyelaras semula hala tuju pembangunan Petaling Jaya berdasarkan dasar dan keperluan semasa.
Bryan Ng berkata, tidak memadai untuk sesuatu isu dibangkitkan menerusi kenyataan media sekiranya wakil rakyat terbabit tidak menghadiri mesyuarat yang diwujudkan bagi mendapatkan maklumat teknikal dan mencari penyelesaian.
Mengulas dakwaan Chean Chung bahawa beliau 'keliru' dengan strategi Perdana Menteri dan hala tuju kerajaan, Bryan Ng berkata pemimpin terbabit sepatutnya menggunakan saluran sedia ada untuk mendapatkan penjelasan.
“Kalau ada persoalan, tanya. Kalau tidak setuju, bahas. Kalau ada cadangan lebih baik, kemukakan,” katanya.
Beliau turut mendakwa Chean Chung pernah membangkitkan pandangan berkaitan isu pemisahan kuasa Peguam Negara dan Pendakwa Raya sehingga kerajaan melakukan penambahbaikan, yang menurutnya menunjukkan ruang untuk menyuarakan pandangan memang tersedia.