MELAKA - Taktik sebuah restoran arab terkenal di Bukit Baru di sini menyembunyikan 230 kilogram (kg) minyak masak peket bersubsidi dalam plastik hitam bersama longgokan sampah kering terbongkar selepas premis itu diserbu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Melaka pada Jumaat.
Serbuan sekitar jam 1.30 petang itu dilakukan lima anggota penguat kuasa KPDN selepas risikan hampir tiga minggu susulan aduan awam yang mengesan kegiatan mencurigakan itu.
Pengarah KPDN Melaka, Dr Mohd Hazimin Jamaludin berkata, hasil risikan mendapati premis makanan yang telah beroperasi sejak 2014 itu disyaki menyeleweng minyak masak bersubsidi untuk tujuan komersial.
“Pemeriksaan yang mengambil masa kira-kira 30 minit itu menemukan minyak masak bersubsidi pelbagai jenama di tingkat tiga premis berkenaan.
Katanya, siasatan awal mendapati bekalan minyak masak paket bersubsidi itu diperoleh dari luar Melaka dihantar menggunakan perkhidmatan kurier dari Selangor ke Melaka.
Ujar beliau, KPDN masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab membuat tempahan minyak masak bersubsidi berkenaan.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki barang kawalan dalam keadaan yang menimbulkan syak munasabah bagi tujuan melakukan kesalahan.
"Jika disabitkan kesalahan, individu boleh didenda sehingga RM1 juta atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama.
"Manakala bagi syarikat, denda tidak melebihi RM2 juta bagi kesalahan pertama," katanya.