MAH SING Group Berhad (Mah Sing) merekodkan jualan hartanah RM1.32 bilion bagi separuh pertama tahun kewangan 2026, meningkat 15 peratus berbanding RM1.15 bilion dalam tempoh sama tahun lalu.
Naib Presiden Penyelidikan Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng berkata, pencapaian itu meletakkan kumpulan berkenaan pada landasan untuk mencapai sasaran jualan RM2.76 bilion bagi tahun kewangan 2026.
"Jualan belum dibilkan Mah Sing turut kekal kukuh pada RM3.57 bilion, sekali gus memberikan keterlihatan pendapatan yang baik kepada kumpulan berkenaan.
"'Maintain BUY' dengan harga sasaran RM1.62 berdasarkan penilaian jumlah bahagian (SOP), katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Pak Leng berkata, beberapa projek yang dilancarkan Mah Sing seperti M Aria di Sentul, M Aurora di Old Klang Road dan M Amaya di Pulau Pinang turut mencatat kadar pengambilan yang sihat.
"Bagi baki 2026, Mah Sing merancang beberapa pelancaran kediaman baharu termasuk M Hana di Puchong, M Mira di Setapak, M Cora di Pulau Pinang dan M Tiara 2 di Johor Bahru.
"Kumpulan itu juga merancang pelancaran fasa baharu di M Legasi, M Sinar Tower B di Southville City, M Grand Minori dan Meridin East," katanya.
Pada masa sama, Mah Sing dijangka memperluas segmen hartanah perindustrian menerusi pembangunan MS Industrial Park @ Kulai di Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).
"Projek dengan nilai pembangunan kasar (GDV) dianggarkan RM2.26 bilion itu akan merangkumi kilang kluster, kilang berkembar dan kilang sesebuah, selain tanah industri kosong yang sesuai untuk gudang, hab logistik serta pusat data" ujar beliau.
Menurut Pak Leng, Mah Sing terus menambah rizab tanahnya bagi menyokong pertumbuhan jangka panjang kumpulan itu termasuk pengambilalihan tanah seluas 14.38 ekar di Ampang bagi pembangunan M Araya, yang mempunyai GDV RM1.92 bilion.
Firma itu turut menjangkakan Mah Sing membayar dividen masing-masing 5.0 sen dan 5.7 sen bagi tahun 2026 dan 2027 berdasarkan nisbah pembayaran 45 peratus, sekali gus diterjemahkan kepada hasil dividen sebanyak lima peratus bagi tahun 2026 dan 5.9 peratus bagi FY27.
Dari segi kedudukan kewangan, Pak Leng memaklumkan Mah Sing mencatat nisbah gearing bersih 0.39 kali pada pertengahan pertama tahun 2026, manakala nisbah perlindungan faedah kekal melebihi tujuh kali.
Dengan baki GDV melebihi RM29.1 bilion, Rakuten Trade menjangkakan keterlihatan pendapatan Mah Sing kekal kukuh dalam tempoh 20 tahun akan datang.