SARAWAK Shell Berhad (SSB), anak syarikat Shell plc, memulakan pengeluaran gas pertama daripada pembangunan medan gas Rosmari-Marjoram yang terletak kira-kira 220 kilometer dari pantai Sarawak, sekali gus menambah bekalan gas daripada operasi huluan syarikat tersebut di Malaysia.
Pembangunan berkenaan dijangka turut menyumbang kepada pertumbuhan pengeluaran Shell sehingga 2030-an, selain membina keupayaan syarikat untuk membawa bekalan gas baharu ke pasaran secara cekap dan berdaya saing.
Presiden Upstream Shell, Peter Costello berkata, projek tersebut dibangunkan berasaskan pengalaman selama berdekad-dekad bagi membawa bekalan gas baharu ke pasaran secara cekap dan kompetitif.
"Shell berbangga dengan sejarah panjang dan kejayaannya di Malaysia. Kami mempunyai kepakaran kukuh dalam lembangan ini dan permulaan operasi Rosmari-Marjoram menyumbang kepada pertumbuhan pengeluaran sehingga dekad 2030-an.
"Gas yang dihasilkan daripada Rosmari-Marjoram akan disalurkan melalui saluran paip ke sebuah loji gas baharu di darat di Bintulu, Sarawak, untuk diproses sebelum disalurkan ke Kompleks LNG Petronas," katanya dalam kenyataan.
Platform luar pesisir Rosmari-Marjoram dikuasakan oleh panel solar, dengan penjana diesel sebagai sumber tenaga sokongan apabila diperlukan.
Loji di darat pula menggunakan bekalan elektrik daripada grid tempatan yang sebahagian besarnya berasaskan tenaga hidro, selain disokong sijil tenaga boleh baharu bagi memastikan penggunaan 100 peratus tenaga elektrik boleh baharu.
Shell mula bertapak di Malaysia menerusi penggerudian telaga minyak pertamanya pada 1910 dan memulakan pengeluaran gas luar pesisir sejak 1982.
Selain Rosmari-Marjoram, syarikat itu turut mempunyai kepentingan dalam medan gas luar pesisir yang sedang beroperasi di Sarawak, termasuk Timi dan Gorek, selain meneroka peluang pembangunan lain dalam lembangan berkenaan.
Pembangunan Rosmari-Marjoram mencerminkan kekuatan kerjasama Shell dengan Petronas menerusi Malaysia Petroleum Management dan Petronas Carigali Sdn Bhd, dengan menggabungkan kepakaran serta pelaburan bagi menjana nilai jangka panjang.