Soalan
Kebelakangan ini saya sering memarahi anak dan isteri disebabkan perkara-perkara kecil. Apakah ada amalan untuk tidak cepat marah?
Jawapan
Para ulama telah menggariskan cara untuk mengawal penyakit cepat marah atau panas baran iaitu:
1 - Perbanyakkan membaca ta’awuz iaitu a’uzubillahi minasy syaitonir rojim.
Dengan membaca ta’awuz, kita meminta perlindungan dengan ALLAH SWT daripada godaan syaitan keana marah yang tidak disukai syarak itu adalah daripada syaitan.
2 - Latih diri diam ketika datang rasa marah.
Rasulullah SAW bersabda: “Apabila marah salah seorang kamu, maka hendaklah dia berdiam diri.” (Hadis Riwayat Ahmad)
3 - Ubah kedudukan ketika datang rasa hendak marah.
Nabi Muhammad SAW bersabda: “Bila marah salah seorang kamu ketika dia berdiri, maka hendaklah dia duduk. Maka jika hilang marahnya itu (cukuplah) dan jika belum hilang marahnya, maka hendaklah dia berbaring.” (Hadis Riwayat Abu Daud)
4 - Sentiasa berwuduk.
Sabda Rasulullah SAW: “Sesungguhnya marah itu daripada syaitan dan syaitan itu dicipta daripada api. Sesungguhnya air sahaja yang dapat memadamkan api, maka apabila marah seseorang daripada kamu, hendaklah dia mengambil wuduk.” (Hadis Riwayat Abu Daud)
5 - Amalkan jangan cepat marah.
Nabi Muhammad SAW bersabda ketika seorang lelaki meminta suatu amalan buat dirinya dan Baginda bersabda: “Jangan kamu marah.” (Hadis Riwayat Al-Bukhari)
Dalam riwayat lain pula, Nabi SAW bersabda: “Jangan kamu marah dan syurga bagi kamu.” (Hadis Riwayat At-Tabarani)