Soalan
Baru-baru ini viral seorang guru yang membuat rakaman video dia kentut di hadapan para pelajarnya ketika sedang mengajar. Apakah sepatutnya adab berkaitan dengan kentut menurut Islam?
Jawapan
Berkaitan perihal kentut, Rasulullah SAW berpesan kepada para sahabatnya: “Mengapakah salah seorang daripada kamu mentertawakan sesuatu yang dia sendiri lakukan?” (Hadis Riwayat Al-Bukhari)
Dalam hal ini, Imam An-Nawawi menjelaskan di dalam hadis tersebut, terdapat larangan mentertawakan seseorang terkentut yang didengari oleh orang lain.
Dia juga hendaklah menampakkan seolah-olah tidak mendengarnya dan ia merupakan adat dan adab pergaulan yang baik.
Bahkan terkentut ketika berada dalam saf solat jemaah juga, Nabi SAW berpesan agar menutup hidung ketika keluar dari saf, seolah-olah hidungnya sedang berdarah.
Hikmahnya menutup hidung seolah-olah ia sedang berdarah agar orang sekelilingnya menyangka bahawa dia benar-benar mengalami pendarahan di hidungnya.
Oleh sebab itu, dalam rakaman video viral tersebut, terdapat beberapa pengajaran yang boleh dijadikan iktibar iaitu:
1 - Janganlah kentut secara terbuka dan berbangga pula dengan perbuatan kentut di hadapan orang ramai.
2 - Janganlah ketawakan orang yang terkentut dan ada adab-adab yang Nabi SAW ajarkan kepada kita apabila mendengar orang terkentut.
3 - Orang yang dipandang mulia dalam kalangan masyarakat seperti guru, ustaz dan orang-orang terhormat, janganlah buat rakaman video yang mendedahkan atau membuka ruang keaiban kepada diri sendiri yang boleh menjatuhkan maruah dan kemuliaan profesionnya.