Jangan guna pemergian Dr Hasmah semai permusuhan – DAP

Iklan
Allahyarham Dr Hasmah

SHAH ALAM - DAP menegur pendakwah, Mohd Ridhuan Tee Abdullah yang didakwa menggunakan pemergian Allahyarham Tun Dr Hasmah Mohd Ali untuk menanam bibit permusuhan.

Teguran itu dibuat menerusi kenyataan bersama 14 pemimpin dan ahli DAP yang menyifatkan tindakan mengaitkan suasana pemergian Allahyarham dengan isu politik sebagai sesuatu tidak bertanggungjawab.

Iklan
Iklan

Menurut mereka, Islam mengajar umatnya supaya bersangka baik, berbudi bahasa dan memperelokkan akhlak ketika berhubungan sesama manusia terutama ketika menziarahi orang sakit atau memberikan penghormatan terakhir kepada keluarga yang kehilangan insan tersayang.

Mereka berkata, kehadiran ketika berlaku kematian bukan sahaja bertujuan mententeramkan keluarga yang sedang berduka, malah menjadi ruang untuk menginsafi hakikat mengenai kematian serta janji Allah.

Iklan

Dalam pada itu, mereka turut mempertikaikan tindakan mengaitkan layanan terhadap bekas pemimpin besar negara ketika sambutan Hari Kemerdekaan dengan pemergian berkenaan.

Kenyataan bersama itu turut menyeru Ridhuan Tee supaya bermuhasabah dan kembali menghayati ajaran Islam yang menekankan nilai rahmah serta kasih sayang sesama manusia.

Iklan

Mereka berkata, sifat kasih sayang lebih wajar ditonjolkan ketika berdepan situasi menyedihkan rakyat Malaysia berbanding menimbulkan permusuhan.

"Memandangkan kenyataannya adalah secara terbuka, maka kami menyeru secara terbuka agar Ridhuan Tee insaf serta menggunakan sisa usia untuk menyebarkan kasih sayang di muka bumi kerana sesungguhnya kematian itu adalah benar," menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu dibuat oleh Pengerusi DAP Cawangan Setia Impian, Shah Alam, Muhammad Shakir Ameer Mohideen; Pengerusi DAP Bandar Baru Bangi, Farhan Haziq serta Naib Ketua DAPSY Selangor, Nur Rahim Nasir selain beberapa pemimpin dan ahli DAP dari Selangor, Kuala Lumpur dan Perak.