PUTRAJAYA – Polis membuka kertas siasatan berhubung tindakan seorang individu yang didakwa menghina petugas media menerusi penyebaran imej yang diubah suai menjadi haiwan.
Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Aidi Sham Mohamed berkata, siasatan dijalankan selepas pihaknya menerima laporan polis berkaitan perkara tersebut pada Jumaat.
“Saya sahkan menerima laporan yang dibuat oleh Kelab Media Putrajaya (KMP),” katanya ketika ditemui media di sini.
Menurut beliau, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Terdahulu, Presiden KMP, Tuan Buqhairah Tuan Muhamad Adnan membuat laporan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berhubung tindakan sebuah akaun media sosial yang memuat naik imej sekumpulan jurugambar dan wartawan yang sedang menjalankan tugas.
Gambar asal itu dirakam ketika petugas media membuat liputan kunjungan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ke pusara Allahyarham Tun Dr Hasmah Mohd Ali di Pusara Negara, Putrajaya pada Khamis.
Menurut KMP, imej tersebut kemudian diubah suai menjadi imej haiwan dan disertakan dengan kapsyen “Akal waras semakin sukar ditemui”, yang disifatkan sebagai penghinaan terhadap pengamal media yang sedang melaksanakan tanggungjawab profesional.
KMP dalam kenyataannya mengecam tindakan tersebut dan menyifatkannya sebagai tidak bertanggungjawab serta boleh menjejaskan maruah petugas media yang menjalankan tugas demi kepentingan awam.
Kelab itu turut menegaskan bahawa pengamal media berhak menjalankan tugas secara profesional tanpa berdepan penghinaan, serangan peribadi atau cubaan menjatuhkan reputasi mereka.