Ketelusan, impak program perkukuh keyakinan penyumbang YAPEIM

Iklan
SERAHAN rumah bina baharu Projek Sinar Lestari YAPEIM di Bangi baru-baru ini.

Setiap infak beri kesan kepada pembangunan ekonomi, pendidikan dan masyarakat

PUTRAJAYA – Pengurusan dana yang telus serta penyaluran sumbangan infak kepada program berimpak tinggi terus memperkukuh keyakinan masyarakat untuk menyumbang kepada Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM).

Pemangku Ketua Divisyen Sumber Dana YAPEIM, Tengku Idzmul Aziim Tengku Alang berkata, kepercayaan penyumbang merupakan asas penting dalam memastikan setiap dana yang diamanahkan dapat disalurkan secara berkesan dan diterjemahkan kepada manfaat sebenar melalui pelaksanaan program.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, pengurusan dana infak bukan sekadar melibatkan aspek kutipan, malah merangkumi perancangan strategik, penyaluran yang teratur serta pemantauan berterusan bagi memastikan ia dimanfaatkan secara optimum dan memberikan impak yang berterusan kepada golongan sasaran.

"Kepercayaan penyumbang dapat diperkukuh apabila mereka dapat melihat dengan jelas sumbangan yang diberikan diterjemahkan kepada manfaat buat masyarakat.

Iklan

Beliau berkata, YAPEIM memberi tumpuan kepada tiga teras utama, iaitu pembangunan ekonomi, pendidikan dan kemasyarakatan dalam usaha memperkasa serta meningkatkan kapasiti masyarakat secara menyeluruh.

Bagi memastikan aspek ketelusan dan akauntabiliti terus dipelihara, YAPEIM melaksanakan audit kewangan pada setiap tahun.

Iklan

"Setiap minggu, Ketua Pengarah YAPEIM, Zabidi Nasan, akan melaporkan jumlah kutipan dan dana yang disalurkan serta pelaksanaan program kepada Menteri Hal Ehwal Agama dalam mesyuarat pasca Kabinet.

TENGKU IDZMUL AZIIM

“Pelaporan ini penting bagi memastikan setiap sumbangan yang diterima disalurkan secara berkesan kepada kumpulan sasar," katanya.

Berdasarkan unjuran sehingga akhir tahun ini, YAPEIM dijangka mengumpulkan antara RM50 juta hingga RM55 juta dana infak, berbanding sasaran RM70 juta bagi tahun 2026.

Kutipan itu diperoleh menerusi pelbagai saluran, termasuk Skim Infak Gaji Bulanan, Rakan Strategik Korporat dan sumbangan sekali bayar (one-off).

Katanya, komitmen masyarakat, khususnya dalam kalangan penjawat awam untuk menyumbang secara konsisten walaupun dalam jumlah yang kecil, mencerminkan bahawa budaya berinfak dapat terus diperkasakan apabila masyarakat mempunyai keyakinan terhadap institusi yang menguruskan amanah tersebut.

Infak perkasa ekonomi, pendidikan dan masyarakat

Tengku Idzmul Aziim berkata, dana yang dikumpulkan YAPEIM disalurkan menerusi tiga teras utama itu dengan penerima dikenal pasti melalui kerjasama strategik bersama pelbagai pihak, termasuk Majlis Agama Negeri, sekolah, ICU-JPM serta agensi berkaitan.

Antara inisiatif dilaksanakan ialah program keusahawanan melibatkan 36 individu kurang upaya (OKU) menerusi projek ternakan ayam kacuk di Kelantan yang berjaya meningkatkan 37 peratus pendapatan mereka mengikut Social Return on Investment (SROI).

“Begitu juga bagi golongan B40, pendekatan yang dilaksanakan adalah untuk membantu meningkatkan pendapatan serta taraf kehidupan mereka," katanya.

Dalam bidang pendidikan pula, YAPEIM terus memperluaskan penyediaan Modul YAPEIM SPM dengan menambah mata pelajaran Bahasa Inggeris dan Matematik, selain Bahasa Melayu dan Sejarah, menerusi kerjasama dengan Kementerian Pendidikan dan sekolah-sekolah di seluruh negara.

Bagi aspek kemasyarakatan, bantuan disalurkan kepada pelbagai golongan memerlukan, termasuk warga emas, keluarga ditimpa musibah serta individu yang kehilangan punca pendapatan.

ORANG ramai boleh menyalurkan sumbangan terus ke YAPEIM melalui kod QR tertera.

Sejak 1985 hingga Ogos 2026, YAPEIM telah menyalurkan kira-kira RM800 juta dana infak yang memberi manfaat kepada lebih 10.1 juta penerima di seluruh negara.

Kerjasama strategik, YAPEIM Run perluas budaya infak

Menurutnya, YAPEIM turut mengalu-alukan kerjasama daripada sektor korporat, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), institusi kewangan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan agensi kerajaan bagi memperluas impak sumbangan menerusi perkongsian idea, kepakaran serta data yang telus.

Kerjasama berkenaan perlu dikembangkan daripada sekadar penyaluran bantuan kepada usaha membina kapasiti komuniti melalui pendidikan, latihan kemahiran dan pelaksanaan projek pembangunan yang berterusan.

Beliau berkata, penganjuran YAPEIM Run turut menawarkan sebuah motosikal sebagai hadiah cabutan utama, manakala peserta yang berinfak juga berpeluang memenangi bar emas menerusi cabutan bertuah.