LOS ANGELES – Taman tema Six Flags Magic Mountain di California mengumumkan penutupan kekal roller coaster X2 selepas ratusan pengunjung mendakwa mengalami kecederaan otak akibat menaiki permainan berkenaan.
Susulan beberapa tuntutan mahkamah dan laporan kecederaan serius, pengurusan taman tema itu memutuskan untuk menutup X2 secara kekal selepas permainan berkenaan dihentikan operasinya sejak Julai lalu.
Iklan
Iklan
Peguam yang mewakili plaintif mendakwa lebih 100 individu tampil melaporkan mengalami pelbagai tahap kecederaan otak selepas menaiki roller coaster terbabit.
X2 mula beroperasi pada 2008 dan telah membawa lebih 16 juta penumpang. Permainan itu mampu bergerak sehingga kira-kira 130 kilometer sejam, selain menampilkan tempat duduk yang berpusing 360 darjah ketika kereta bergerak.
Presiden Six Flags Magic Mountain, Brian Oerding berkata, walaupun X2 melepasi pelbagai ujian keselamatan, pihaknya mengambil serius kebimbangan pengunjung.
Penutupan itu turut menyusul laporan dua wanita dikejarkan ke hospital dan menjalani pembedahan otak kecemasan selepas menaiki X2 pada Julai lalu.
Pihak taman tema sebelum ini menegaskan permainan berkenaan telah menjalani pemeriksaan keselamatan yang diperlukan. - Agensi