Buli: Sampai bila mahu tunggu mangsa seterusnya?

Iklan
Ramai mangsa memilih untuk berdiam diri kerana bimbang identiti mereka diketahui oleh pelaku atau rakan-rakan lain. Foto janaan AI

KES buli menggunakan seterika bukanlah sesuatu yang baharu di negara ini. Namun apabila kaedah penderaan yang hampir sama terus berulang dari satu institusi ke institusi lain, persoalan yang timbul bukan lagi sekadar mengapa pelajar membuli tetapi mengapa sistem yang sepatutnya melindungi mereka masih gagal mengesan perbuatan itu lebih awal.

Terbaru, dua pelajar lelaki berusia 13 dan 14 tahun didakwa di Mahkamah Majistret Parit selepas dipercayai mencederakan seorang pelajar 13 tahun menggunakan seterika di sebuah maahad tahfiz di Perak Tengah pada 19 September lalu.

Iklan
Iklan

Mangsa dilaporkan mengalami lecur tahap dua pada bahagian dada, manakala kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34.

Insiden itu sukar dianggap sebagai kes terpencil kerana penggunaan seterika sebagai alat penderaan telah muncul berulang kali dalam beberapa kes buli yang menggemparkan negara.

Iklan

Antara yang paling meninggalkan kesan mendalam ialah kes membabitkan Pegawai Kadet Laut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia, Allahyarham Zulfarhan Osman Zulkarnain pada 2017.

Walaupun kes tersebut menjadi antara tragedi buli paling mendapat perhatian di Malaysia, kejadian hampir serupa terus berulang. Persoalannya, selepas pelbagai insiden dan pengajaran yang pernah berlaku, apakah yang masih belum dipelajari?

Iklan

Salah satu cabaran terbesar dalam menangani buli di institusi berasrama ialah hakikat bahawa banyak perbuatan berlaku ketika pengawasan orang dewasa berada pada tahap minimum.

Budaya senior-junior, ketakutan dilabel sebagai 'kaki adu', tekanan daripada rakan sebaya dan kebimbangan mangsa bahawa keadaan akan menjadi lebih buruk sering menyebabkan kes buli tidak dilaporkan pada peringkat awal.

Atas sebab itu, usaha membanteras buli tidak boleh bergantung kepada kempen kesedaran, ceramah motivasi atau poster anti-buli semata-mata.

Pengawasan di asrama perlu diperkukuhkan secara konsisten, khususnya di kawasan dan waktu yang dikenal pasti berisiko tinggi.

Rondaan warden, pemeriksaan mengejut serta pemantauan berkala perlu menjadi amalan harian.

Selain pengawasan, mekanisme aduan yang selamat dan dipercayai juga amat penting.

Ramai mangsa memilih untuk berdiam diri kerana bimbang identiti mereka diketahui oleh pelaku atau rakan-rakan lain.

Sekiranya pelajar tidak yakin aduan mereka akan dilindungi, maka sistem aduan yang diwujudkan hanya wujud atas nama semata-mata.

Pada masa sama, ibu bapa juga perlu diberikan laluan terus untuk membuat aduan kepada pihak berkuasa atau agensi pemantau tanpa perlu bergantung sepenuhnya kepada pentadbiran institusi.

Petunjuk awal

Satu lagi perkara yang sering terlepas pandang ialah kegagalan mengenal pasti petunjuk awal kes dera.

Dalam banyak kes, mangsa sebenarnya telah menunjukkan petanda bahawa sesuatu tidak kena, namun tanda-tanda tersebut tidak diberikan perhatian yang mencukupi.

Malaysia kini mempunyai kerangka perundangan yang lebih jelas bagi menangani isu buli.

Bagaimanapun, keberkesanan sesuatu undang-undang tidak dinilai melalui kewujudannya semata-mata, sebaliknya melalui pelaksanaan di peringkat akar umbi.

Cabaran sebenar bukan sekadar menggubal dasar atau memperkenalkan prosedur baharu, tetapi memastikan setiap pihak melaksanakannya secara konsisten.

Sekolah, asrama, institusi pendidikan, ibu bapa dan masyarakat perlu memainkan peranan masing-masing dalam mewujudkan budaya sifar toleransi terhadap buli.

Jika insiden seumpamanya terus berulang, persoalan yang perlu dijawab bukan lagi mengapa pelajar membuli, tetapi mengapa kita masih gagal menghentikannya.

*Zubir Sulaiman ialan Sub Editor Sinar Harian