KETIKA kita sibuk memastikan anak-anak diberi pendidikan terbaik, mungkin kita lupa mengenai perkara asas yang paling penting untuk membentuk sahsiah dan jati diri iaitu adab.
Teguran Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah mengenai krisis adab dalam kalangan masyarakat Melayu dan umat Islam wajar dilihat sebagai wake up call kepada semua.
Merak Jalanan beberapa kali berdepan situasi 'cemas dan rimas' terutama membabitkan generasi muda yang seolah-olah langsung tidak tahu membawa diri, tidak tahu hormat orang tua apatah lagi menjaga budi bahasa apabila bercakap.
Bukanlah mahu membandingkan dengan latar hidup generasi terdahulu atau paling tidak mereka yang lahir di tahun 1980-an, namun itulah hakikat yang perlu kita terima.
Titah Sultan Perak mengenai bangsa Melayu dan umat Islam sedang menghadapi krisis adab dan ia tidak boleh dipandang sebagai perkara kecil kerana keruntuhan sesebuah masyarakat sering bermula dengan keruntuhan nilai dan akhlaknya.
Lihat saja gaya generasi muda berbahasa dalam media sosial, ada saja perkataan yang membawa maksud tidak berapa elok serta gelaran tidak sepatutnya tanpa segan silu.
Itu tak termasuk anak-anak muda yang memanggil individu sebaya ibunya dengan panggilan 'korang' yang sungguh menyakitkan hati selain menjawab pertanyaan orang lain dengan acuh tak acuh.
Adakah ini 'sakit' yang berpunca daripada cara hidup yang moden sehingga melanggar batas-batas adab dan susila, tanpa mengira hukum agama?
Kita perlu akui, persoalan ini sebenarnya sedang berlegar-legar dalam kalangan kita. Merak Jalanan menginsafi bahawa isu ini memang sudah sampai tahap tenat yang memerlukan tindakan proaktif dari kita semua.
Jangan sampai satu hari kita makan hati dengan tindak-tanduk anak cucu yang hanyut kerana tidak pernah ditegur ibu bapa dan keluarga sendiri.