BELANJAWAN 2027 dijangka mencatatkan peningkatan dengan jumlah keseluruhan diunjurkan antara RM430 bilion hingga RM450 bilion.
Jika angka itu menjadi kenyataan, Belanjawan 2027 akan lebih tinggi berbanding RM419.2 bilion yang diperuntukkan dalam Belanjawan 2026 iaitu peningkatan antara RM10.8 bilion hingga RM30.8 bilion atau sekitar 2.6 hingga 7.3 peratus.
Penganalisis Ekonomi dari UniKL Business School, Profesor Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, julat berkenaan munasabah mengambil kira trend perbelanjaan kerajaan, pertumbuhan ekonomi dan inflasi serta keperluan meneruskan agenda pembangunan negara termasuk infrastruktur, digital, kesihatan dan pendidikan.
Menurut beliau, Belanjawan 2025 diperuntukkan sekitar RM421 bilion, manakala bagi 2026, beliau menjangkakan jumlah perbelanjaan kerajaan sekitar RM440 bilion.
Beliau berkata, hasil kerajaan masih sekitar 15 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan dengan KDNK 2027 dijangka sekitar RM2.2 trilion, hasil boleh mencapai RM330 bilion hingga RM340 bilion, manakala selebihnya ditampung melalui defisit sekitar 3.5 peratus KDNK.
Katanya, angka bawah RM430 bilion sukar kerana kos emolumen, pencen dan bayaran hutang sahaja sudah melebihi RM200 bilion manakala angka melebihi RM450 bilion pula boleh memberi isyarat bahawa defisit tidak dikawal.
Menurut Aimi Zulhazmi, empat faktor akan menentukan saiz sebenar Belanjawan 2027 iaitu harga minyak dan hasil Petronas, hasil cukai baharu, keberkesanan subsidi bersasar serta keadaan ekonomi global.
“Setiap AS$10 kenaikan harga minyak bermaksud tambahan sekitar RM4 bilion hasil. Jika harga minyak jatuh bawah AS$70, bermakna kerajaan terpaksa tarik perbelanjaan,” katanya.
Beliau turut melihat kemungkinan pelaksanaan GST 2.0 atau cukai karbon pada 2027 sebagai sumber ruang fiskal tambahan yang berpotensi menyumbang RM15 bilion hingga RM20 bilion.
Dalam aspek subsidi pula, penjimatan melalui penyasaran subsidi RON95 dan elektrik boleh dialihkan kepada pembangunan.
Katanya, penjimatan RM10 bilion daripada langkah itu boleh digunakan untuk tujuan berkenaan.
Pada masa sama, jika ekonomi Amerika Syarikat atau Eropah memasuki kemelesetan, kerajaan mungkin perlu menyediakan belanjawan lebih besar sebagai rangsangan bagi melindungi pertumbuhan ekonomi domestik.
Dalam usaha berjimat, Aimi Zulhazmi melihat tiga ruang utama iaitu subsidi pukal, perolehan kerajaan dan ketirisan serta geran dan bantuan kepada Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC).
“Subsidi minyak pukal sekitar RM20 bilion boleh dialihkan secara berperingkat kepada mekanisme subsidi bersasar dan bantuan seperti STR. Di sini, kita boleh jimat 30 hingga 40 peratus terus.
“Bagi perolehan kerajaan, pengauditan, tender terbuka dan penggunaan e-perolehan boleh dipertingkatkan,” ujar beliau.
Pembaziran
Beliau menjelaskan, berdasarkan kajian dan penemuan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) serta Laporan Ketua Audit Negara, terdapat pembaziran sekitar 10 hingga 15 peratus dalam projek, sekali gus membuka ruang penjimatan RM8 bilion hingga RM12 bilion setahun.
Bagi GLC pula, geran operasi wajar dikurangkan untuk syarikat yang sudah matang dan mampu berdiri sendiri, dengan bantuan kerajaan difokuskan kepada pelaburan strategik.
Namun, beliau menegaskan penjimatan tidak boleh melibatkan sektor asas.
“Emolumen guru, doktor dan polis, selain peruntukan kesihatan asas serta pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) tidak wajar disentuh. Potong di sini, akan memberikan kesan terus kepada rakyat,” tegasnya.
Tambahnya, jika kerajaan berjaya menjimatkan perbelanjaan, beliau mencadangkan 70 peratus digunakan untuk mengurangkan defisit manakala 30 peratus lagi disalurkan semula kepada rakyat.
“Kredibiliti fiskal adalah aset paling penting kerajaan sekarang. Kalau kita tunjuk kita serius turunkan defisit ke tiga peratus KDNK, pelabur dan agensi penarafan akan beri ganjaran dalam bentuk kos hutang lebih rendah.
“Bagaimanapun, 30 peratus perlu dikembalikan kepada rakyat melalui bantuan tunai bersasar serta program meningkatkan pendapatan dan kemahiran.
“Sekiranya kerajaan berjaya menjimatkan RM10 bilion, sebanyak RM7 bilion boleh digunakan untuk mengurangkan beban hutang manakala RM3 bilion disalurkan kepada rakyat melalui STR dan SARA serta latihan kemahiran,” jelasnya.
Dalam keadaan kos sara hidup dan inflasi makanan masih memberi tekanan, beliau mencadangkan 60 peratus peruntukan bantuan langsung dan 40 peratus program produktiviti bagi 2027.
Ini bermakna sekitar RM18 bilion hingga RM20 bilion wajar diperuntukkan bagi STR, SARA dan bantuan sekolah manakala RM12 bilion hingga RM14 bilion untuk latihan semula pekerja, geran PKS bagi automasi, biasiswa TVET serta insentif upah tinggi.
Menurutnya, dalam tempoh lima tahun, nisbah itu perlu diterbalikkan kepada 40 peratus bantuan dan 60 peratus produktiviti bagi mengurangkan kebergantungan rakyat kepada bantuan kerajaan.
“Belanjawan 2027 mesti jadi ‘Belanjawan Peralihan’ iaitu daripada subsidi pukal kepada pelaburan modal insan. Disiplin di satu pihak, belas ihsan di pihak satu lagi,” katanya.
Justeru, beliau melihat kejayaan Belanjawan 2027 bukan hanya diukur berdasarkan saiz peruntukan tetapi sejauh mana setiap ringgit mampu memperkukuh kewangan negara, melindungi rakyat dan meningkatkan produktiviti ekonomi.