Lebih RM1 juta barang makanan, cecair dipercayai alkohol dirampas

Iklan
WCB/PSK akan terus memperkukuh kerjasama strategik bersama agensi berkaitan bagi membanteras kegiatan yang boleh menjejaskan kepentingan serta keselamatan masyarakat dan negara.

KUALA LUMPUR - Lima individu ditahan manakala pelbagai jenis barangan makanan buatan China dan cecair dipercayai alkohol yang keseluruhan bernilai lebih RM1 juta dirampas dalam operasi bersepadu Ops Taring Alpha 5 di Taman Perindustrian Subang, Subang Jaya, pada Khamis.

Komander Biro Kawalan Jenayah Hidupan Liar/Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK), Datuk Mohd Zaki Ashar berkata, serbuan dilakukan jam 11.30 pagi dengan kerjasama Pejabat Kesihatan Daerah Petaling, Kementerian Kesihatan, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) serta Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ).

Iklan
Iklan

Beliau berkata, dalam operasi berkenaan pihaknya telah merampas 118 jenis barangan makanan buatan China serta 23 kotak mengandungi pelbagai cecair dipercayai alkohol yang disyaki tidak bercukai kastam, dengan nilai keseluruhan rampasan RM1,022,635.

"Seorang warga tempatan dan empat warga Myanmar yang berperanan sebagai penyelia, pekerja serta pengurus premis ditahan.

Iklan

"Hasil pemeriksaan terhadap premis berkenaan mendapati terdapat ketidakpatuhan undang-undang antaranya melibatkan kesalahan di bawah Akta Makanan 1983, Akta Kastam 1967 dan Akta Imigresen 1959/63,” katanya dalam kenyataan di sini pada Khamis.

Mohd Zaki berkata, kejayaan operasi berkenaan memperlihatkan kepentingan kerjasama dan penyelarasan antara agensi dalam menangani aktiviti pengedaran barangan yang tidak mematuhi peraturan, khususnya apabil melibatkan pelbagai kesalahan di bawah bidang kuasa agensi yang berbeza.

Iklan

Beliau berkata, pendekatan operasi secara bersepadu membolehkan tindakan penguatkuasaan dilaksanakan secara menyeluruh, bukan sahaja dari aspek jenayah dan penyeludupan malah keselamatan makanan, pematuhan perlesenan premis serta penguatkuasaan kastam dan imigresen.

"WCB/PSK akan terus memperkukuh kerjasama strategik bersama agensi berkaitan melalui perkongsian maklumat, tindakan risikan dan operasi bersepadu bagi membanteras kegiatan yang boleh menjejaskan kepentingan serta keselamatan masyarakat dan negara,” katanya. - Bernama