SKUAD Harimau Malaya menamatkan babak pertama dengan mendahului Singapura 2-0 dalam aksi terakhir Divisyen 1 Kumpulan A Piala ASEAN FIFA 2026 di Stadium Si Jalak Harupat, Bandung sebentar tadi.
Namun, kelebihan tersebut masih belum memadai buat anak buah Tan Cheng Hoe untuk ke pentas akhir apabila Indonesia ketika ini mendahului Bangladesh 6-1 dalam satu lagi aksi kumpulan.
Situasi itu menyaksikan Harimau Malaya perlu menambah sekurang-kurangnya tiga jaringan lagi pada babak kedua untuk menyamai jumlah lapan gol Indonesia.
Indonesia setakat ini merekodkan lapan jaringan dan bolos sekali, manakala Malaysia mempunyai lima jaringan selepas tiga perlawanan termasuk kelebihan dua gol ke atas Singapura.
Malaysia membuka jaringan seawal minit ketiga menerusi Bergson da Silva daripada sepakan penalti sebelum Stuart Wilkin menggandakan kelebihan pada minit ke-26 selepas menerima hantaran Manuel Hidalgo.
Singapura bagaimanapun tidak mengalah dan beberapa kali menguji Syihan Hazmi, namun penjaga gol Harimau Malaya itu tangkas menafikan percubaan Song Ui-yong, Kyoga Nakamura dan Harhys Stewart.
Malaysia turut memiliki beberapa peluang untuk menambah jaringan, namun percubaan Arif Aiman Hanapi pada minit ke-15 dan penghujung babak pertama tidak menemui sasaran.
Arif hampir mencetak gol ketiga ketika masa tambahan babak pertama, tetapi rembatan dari luar kotak penalti berjaya ditepis Izwan Mahbub.
Dengan Indonesia masih mendahului Bangladesh 6-1, Harimau Malaya perlu lebih agresif memburu jaringan selepas rehat.
Malaysia perlu menghasilkan sekurang-kurangnya tiga gol lagi sambil mengharapkan Indonesia mengekalkan keputusan 6-1 atau Bangladesh menambah jaringan bagi mengurangkan perbezaan gol skuad Garuda.
Jika keputusan itu kekal, Malaysia perlu memastikan kemenangan besar ke atas Singapura untuk menamatkan saingan dengan kelebihan jumlah jaringan.
Separuh masa pertama berakhir dengan Malaysia 2-0 Singapura, manakala Indonesia 6-1 Bangladesh.