DEBARAN aksi separuh akhir terlerai buat skuad skuasy lelaki negara apabila Malaysia menewaskan juara bertahan, India 2-1 untuk melangkah ke final acara berpasukan lelaki Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 sebentar tadi.
Selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1, C Ameeshenraj tampil sebagai penentu apabila bangkit daripada kekalahan set pertama untuk menundukkan Velavan Senthilkumar 10-12, 11-6, 11-8, 11-9 dalam aksi penentuan di Arena Nagoya Kinjo Futo.
Malaysia terlebih dahulu membuka kelebihan menerusi Ng Eain Yow yang menewaskan Abhay Singh 11-8, 11-8, 11-8.
Namun, India mengheret pertembungan ke penentuan selepas Veer Chotrani menewaskan Sanjay Jeeva 11-4, 11-8, 11-5 dalam perlawanan kedua.
Kejayaan itu menyaksikan Malaysia memperbaiki pencapaian di Hangzhou 2022 apabila sekadar meraih gangsa selepas tewas kepada India di separuh akhir.
Malaysia akan berdepan Pakistan pada aksi final esok dalam misi memburu pingat emas.
Pakistan mara selepas menewaskan Hong Kong 2-1 dalam satu lagi aksi separuh akhir.
Malaysia kali terakhir memenangi emas acara berpasukan lelaki pada Sukan Asia 2018 di Jakarta-Palembang.