IPOH - Lelaki yang cedera ditembak dalam kejadian di sebuah stesen minyak di Bidor Sentral dekat Bidor pada Rabu dikenal pasti sebagai seorang ahli perniagaan.
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, berdasarkan keterangan diberikan, mangsa berusia 41 tahun mempunyai rangkaian restoran dan beberapa perniagaan lain di sekitar Tapah, Bidor dan Slim River.
Menurutnya, dalam kejadian jam 6.08 petang itu, kenderaan jenis Toyota Land Cruiser yang membawa mangsa dipercayai telah diekori suspek lebih awal sebelum insiden itu berlaku.
"Kenyataan mangsa baharu sahaja diambil selepas dia menjalani rawatan dan pembedahan. Mangsa kini berada dalam keadaan stabil.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Meraikan Pesara dan Bakal Pesara Kontinjen Perak Tahun 2026 di Mes Pegawai Kanan Polis Perak di sini pada Khamis.
Hadir sama, Timbalan Ketua Polis Perak, Deputi Komisioner Mohammad Azlin Sadari.
Mohd Alwi berkata, pihaknya masih belum mengenal pasti motif sebenar kejadian dan siasatan lanjut sedang dijalankan dari pelbagai sudut.
Katanya, setakat ini polis telah merakam keterangan sembilan saksi di lokasi kejadian iaitu orang awam, pekerja stesen minyak serta tiga ahli keluarga mangsa yang berada dalam kenderaan sama.
"Siasatan mendapati terdapat tiga suspek terlibat dalam kejadian itu termasuk seorang pemandu. Kenderaan digunakan suspek juga didapati menggunakan nombor pendaftaran palsu," katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di stesen minyak berkenaan berjaya merakam kejadian tembakan dari dua sudut iaitu bahagian hadapan dan sebelah kanan kenderaan mangsa.
Jelasnya, semakan turut dilakukan terhadap rakaman CCTV di plaza tol berhampiran, namun setakat ini suspek dipercayai tidak melalui laluan keluar tol.
"Siasatan masih lagi melihat daripada pelbagai sudut yang tepat untuk kita kenal pasti suspek terlibat," katanya.
Terdahulu, media melaporkan, seorang lelaki cedera di bahu kiri akibat terkena satu das tembakan ketika kenderaannya berhenti di sebuah stesen untuk mengisi minyak.
Siasatan awal polis mendapati, sebuah Honda City berwarna hitam datang dari arah Bidor telah berhenti di hadapan kenderaan mangsa sebelum dua lelaki bersenjata api keluar dan melepaskan beberapa das tembakan ke arahnya.
Pemeriksaan di lokasi kejadian menemukan satu peluru 9 milimeter (mm) jenis Luger, empat kelongsong peluru serta serpihan anak peluru.
Sementara itu, seramai 170 pesara dan bakal pesara polis Kontinjen Perak melibatkan pelbagai pangkat diraikan dan diberikan sijil sebagai penghargaan terhadap jasa serta perkhidmatan mereka sepanjang berkhidmat dalam pasukan.