SOP khas tangani anjing liar di luar bandar - Exco Johor

Iklan
Mohd Jafni pada sidang akhbar di Mesyuarat Taskforce Banjir Kilat di Menara Majlis Bandaraya Johor Bahru pada Khamis.

JOHOR BAHRU - Masalah anjing liar di kawasan luar bandar akan ditangani menerusi pendekatan lebih tersusun termasuk mewujudkan prosedur operasi standard (SOP) khusus di peringkat kampung.

Langkah itu akan dimasukkan dalam Pelan Tindakan Kawalan Haiwan Terbiar 2027-2031 yang sedang dirangka kerajaan negeri bagi memastikan isu berkenaan tidak lagi ditangani secara bersendirian oleh mana-mana agensi.

Iklan
Iklan

Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata, pelan itu akan membabitkan kerjasama jabatan, pihak berkuasa tempatan (PBT), Pejabat Tanah, ketua kampung, pemimpin masyarakat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

“Sudah sampai masa kita melihat isu anjing di luar bandar ini secara keseluruhan dengan melibatkan jabatan dan NGO berkaitan untuk duduk bersama dan mengeluarkan satu SOP di peringkat kawasan kampung.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas Mesyuarat Taskforce Banjir Kilat di Menara Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), di sini pada Khamis.

Menurut Mohd Jafni, isu itu perlu diberi perhatian kerana terdapat kawasan luar bandar yang tidak berada dalam pentadbiran PBT dan tidak dikenakan cukai PBT.

Iklan

Mohd Jafni pada sidang akhbar di Mesyuarat Taskforce Banjir Kilat di Menara Majlis Bandaraya Johor Bahru pada Khamis.

Katanya, keadaan berkenaan menyebabkan kawasan terbabit tidak mempunyai perkhidmatan tangkapan anjing secara bulanan seperti yang disediakan di kawasan pentadbiran PBT.

“Di peringkat kerajaan negeri, kita akan melihat bagaimana peruntukan PBT boleh disalurkan untuk kerja-kerja menangkap anjing di kawasan luar bandar melalui pegawai daerah yang menyelaras tindakan itu,” katanya.

Beliau berkata, penyelarasan antara Jabatan Perkhidmatan Veterinar, PBT, Pejabat Tanah, ketua kampung dan pemimpin masyarakat sudah dilakukan bagi mencari kaedah terbaik menangani masalah terbabit.

Dalam pada itu, Mohd Jafni berkata, antara faktor peningkatan jumlah anjing liar adalah tindakan segelintir pihak melepaskan anjing peliharaan selepas sesuatu projek pembangunan atau pertanian selesai.

Katanya, terdapat kontraktor yang membeli anjing untuk tujuan tertentu ketika menjalankan projek pertanian atau pembangunan, namun melepaskannya selepas projek berkenaan siap.

“Bila dilepaskan, haiwan itu perlu mencari makanan sendiri dan akhirnya berkeliaran,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, pemilik anjing perlu diberi kesedaran mengenai keperluan memiliki lesen serta tanggungjawab menjaga haiwan peliharaan supaya tidak menjadi haiwan terbiar.

Katanya, pendekatan vaksinasi dan pemandulan anjing liar turut akan diteliti bagi membantu mengawal populasi haiwan berkenaan selain mengurangkan risiko penyakit termasuk rabies.

“Untuk anjing liar, kita perlu bincangkan bagaimana kita boleh vaksin dan pada masa sama melakukan pemandulan supaya pembiakan tidak berlaku secara tidak terkawal.

“Pada masa sama, kita perlu ada peruntukan dan bajet pendidikan untuk memberi penerangan kepada orang ramai mengenai pemilikan serta penjagaan anjing,” katanya.