Kolam takungan bawah tanah diperluas tangani banjir kilat di Johor Bahru

Iklan
Pam kawalan banjir di Kampung Mohd Amin, Johor Bahru.

JOHOR BAHRU – Kolam takungan bawah tanah akan diperluaskan di kawasan pusat bandar raya di sini sebagai langkah jangka panjang untuk menangani isu banjir kilat.

Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata, pembinaan kolam takungan bawah merupakan empat cadangan dalam pelan kecemasan membabitkan peruntukan tambahan RM30 juta.

Iklan
Iklan

Jelas beliau, antara kawasan yang dikenal pasti untuk pelaksanaan kolam bawah tanah ialah Kampung Mohd Amin dan kawasan berhadapan Maktab Sultan Abu Bakar.

"Kaedah kolam takungan bawah tanah ini sudah dilaksanakan sebagai projek perintis di Iskandar Puteri dan didapati berkesan," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian selepas Mesyuarat Taskforce Banjir Kilat di Menara Majlis Bandaraya Johor Bahru di sini pada Khamis.

Hadir sama, Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Mohd Haffiz Ahmad dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perling, P Pannir Selvam.

Iklan

Mohd Jafni pada sidang akhbar di Menara MBJB pada Khamis.

Dalam pada itu, Mohd Jafni berkata, selain kolam bawah tanah, turut dicadang penambahan pam baharu serta kerja menaik taraf dan membesarkan parit monsun bagi meningkatkan kapasiti sistem saliran.

"Sebelum ini, MBJB sudah membelanjakan lebih RM100 juta dalam tempoh empat tahun bagi projek menaik taraf parit monsun, penambahan pam dan pemasangan 'flap' gate untuk menyalurkan air ke Selat Johor.

“Tahun depan kita ada peruntukan lebih kurang RM48 juta. Tetapi dalam kita tengok isu-isu yang ada, kita perlukan juga saya ingat RM30 juta peruntukan tambahan," ujarnya.

Mohd Jafni menambah mesyuarat pasukan khas (task force) banjir akan diadakan setiap minggu bagi memantau pelaksanaan tindakan yang diputuskan.

“Mesyuarat task force banjir kilat ini kita akan dibuat setiap minggu untuk pantau perkembangan tindakan yang diambil.

"Tindakan ini perlu ada timeline, garis panduan untuk dilaksanakan dan bajet yang digunakan,” katanya.