Polis lupus barang kes jenayah RM279,490

Iklan
Antara barang kes jenayah yang dilupuskan di IPD Brickfields pada Khamis. Foto: Polis KL

KUALA LUMPUR - Barang kes jenayah bernilai RM279,490 dilupuskan pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Hoo Chang Hook berkata, pelupusan barang kes melibatkan sebanyak 12,230 unit barang kes dan RM3,481.00 wang tunai daripada 145 kertas siasatan di bawah Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields bagi tempoh tahun 2016 hingga 2026.

Iklan
Iklan

Menurutnya, sebanyak 74 kertas siasatan melibatkan barang kes am, barang kes noda dan hiburan (45 kertas siasatan), kes perjudian (17 kertas siasatan) dan kes kontraband (9 kertas siasatan).

"Tindakan pelupusan barang kes tersebut juga melibatkan sebanyak 166 unit barang kes daripada lapan kertas siasatan di bawah Bahagian Siasatan Jenayah Komersial (BSJK) IPD Brickfields bagi tempoh tahun 2025 hingga 2026.

Iklan

"Pelupusan barang kes ini melibatkan kes yang telah selesai dan jatuh hukum oleh mahkamah," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Majlis berlangsung pada jam 10 pagi di IPD Brickfields itu turut dihadiri Timbalan Pendakwa Raya Kuala Lumpur, Nur Aqilah Ishak serta Majistret Mahkamah Jenayah Kuala Lumpur, Rozimah Ismail.

Iklan

Mengulas lanjut, kata Chang Hook, kesemua barang kes yang terlibat telah mendapat Perintah Pelupusan Barang Kes di bawah peruntukan Seksyen 407(2) Kanun Prosedur Jenayah (Akta 593).

Jelasnya, proses pelupusan dilaksanakan mengikut tatacara dan peraturan yang telah ditetapkan bagi memastikan setiap barang kes diuruskan dengan teratur, selamat dan berintegriti.

"Langkah ini turut mencerminkan komitmen Polis Diraja Malaysia dalam memastikan pengurusan barang kes dilaksanakan secara telus dan bertanggungjawab," ujarnya.