SPRM kesan kepincangan tatakelola UiTM Holdings Sdn Bhd

Iklan
Abd Halim

PUTRAJAYA - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesan kepincangan dari aspek tatakelola susulan siasatan terhadap UiTM Holdings Sdn Bhd dan akan mengesyorkan langkah penambahbaikan kepada pihak terbabit.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman berkata, perkara itu merupakan prosedur biasa apabila siasatan mendapati wujud kelemahan dalam aspek tatakelola.

Iklan
Iklan

“Ya, kebiasaannya apabila kita menyiasat, tatakelola itu merupakan sebahagian daripada aspek penyiasatan kita.

Abd Halim berkata, SPRM akan mengesyorkan langkah penambahbaikan terhadap sebarang kelemahan tatakelola yang dikenal pasti sepanjang proses siasatan.

Iklan

Bagaimanapun, beliau enggan mengulas lanjut mengenai bentuk atau jumlah kepincangan tatakelola yang dikesan dalam siasatan berkenaan.

Mengulas perkembangan siasatan kes itu, Abd Halim berkata, setakat ini siasatan SPRM hanya menjurus kepada seorang suspek iaitu bekas Ketua Pegawai Eksekutif UiTM Holdings yang didakwa di mahkamah pada Khamis.

Iklan

Katanya, siasatan bagaimanapun boleh diperluaskan kepada individu lain sekiranya SPRM memperoleh bukti baharu.

“Penyiasatan dijalankan oleh SPRM sejak 2023. Kita akui penyiasatan itu agak lama dan sebagainya. Tetapi penyiasatan itu merupakan satu proses yang ongoing (berterusan), ia tidak ada had masa.

“Jadi untuk UiTM Holdings ini, setakat ini penyiasatan kita menjurus kepada seorang suspek yang telah dituduh. Setakat ini penyiasatan kita itu sahaja.Namun jika terdapat bahan bukti yang baharu dan sebagainya, kita akan teruskan menyiasat,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan bekas Ketua Pegawai Eksekutif UiTM Holdings mengaku tidak bersalah di mahkamah atas pertuduhan pecah amanah jenayah membabitkan peruntukan berjumlah RM37.37 juta.