SEREMBAN - Semua pihak diseru memberikan ruang sewajarnya kepada saluran dan mekanisme yang tersedia supaya sebarang persoalan berkaitan kedudukan serta kehormatan institusi Raja di Negeri Sembilan dapat ditangani secara teratur, berhemah dan berlandaskan undang-undang.
UMNO Negeri Sembilan dalam kenyataan berkata, pihaknya mengambil maklum perkembangan semasa yang menyentuh institusi Raja serta adat perpatih di negeri ini dengan penuh tertib, berhati-hati dan rasa hormat.
"Sehubungan itu, UMNO menghormati bidang kuasa serta urusan Istana dan tidak berhasrat untuk mencampuri perkara yang berkaitan dengan adat perpatih.
"Sebarang persoalan yang timbul wajar dirujuk kepada kerangka yang menjadi asas pemerintahan dan kehidupan bernegara, termasuk Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS), adat perpatih, Perlembagaan Persekutuan serta undang-undang yang berkaitan," katanya.
Menurut kenyataan itu, pendekatan berkenaan penting bagi memastikan setiap perkara dapat ditangani melalui peruntukan dan bidang kuasa yang sewajarnya, di samping memelihara keharmonian, mengelakkan salah faham serta membantu menenangkan keadaan dalam kalangan rakyat.
Pada masa sama, katanya, kelancaran pentadbiran negeri dan kepentingan rakyat hendaklah terus diberi perhatian.
"Urusan harian, penyampaian perkhidmatan awam, pembangunan negeri serta pelaksanaan dasar dan program kerajaan perlu diteruskan dengan sebaik-baiknya demi memastikan kesejahteraan rakyat sentiasa terpelihara.
"Sebagai parti yang menjadikan pemeliharaan institusi Raja dan Yang di-Pertuan Besar, Istana dan adat Melayu sebagai antara asas perjuangan sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan UMNO, pendirian itu akan terus dipegang dengan penuh tanggungjawab, kesederhanaan dan rasa hormat,"katanya.
Selain itu ujar kenyataan itu lagi, dalam suasana yang menuntut ketenangan serta kebijaksanaan, semua pihak diseru agar mengutamakan adab, kesantunan dan sikap saling menghormati.
Tambahnya, sebarang perbezaan pandangan hendaklah diurus secara matang dan tidak mengatasi kepentingan yang lebih besar, iaitu keharmonian negeri serta kesejahteraan rakyat.
"UMNO Negeri Sembilan juga menjunjung kasih kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan serta mendoakan agar segala persoalan yang timbul dapat diselesaikan dengan penuh hikmah, tertib dan berlandaskan undang-undang serta nilai luhur yang menjadi warisan negeri ini.
"Dalam apa jua keadaan, kepentingan rakyat tidak boleh diketepikan..Semoga Negeri Sembilan terus berada dalam keadaan aman, stabil dan sejahtera demi kepentingan seluruh rakyat tanpa mengira latar belakang," katanya.