JOHOR BAHRU- Sebanyak RM100 juta sudah dibelanjakan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) bagi kerja saliran dan tebatan banjir sepanjang tiga tahun sejak 2023, namun beberapa kawasan bandar raya ini masih dilanda banjir kilat pada Rabu.
Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata, kejadian itu menunjukkan infrastruktur sedia ada masih belum mampu menampung sepenuhnya beban aliran apabila hujan berintensiti tinggi berlaku serentak dengan air pasang besar.
Katanya, kadar hujan pada petang Rabu mencecah 60 milimeter sejam, iaitu tiga kali ganda berbanding kadar rujukan 20 milimeter sejam, manakala air pasang mencapai paras 3.5 meter.
"Jumlah hujan terkumpul direkodkan sekitar 90 milimeter antara jam 1 petang hingga 7 malam, dengan peningkatan hujan yang ketara berlaku antara jam 1.30 petang hingga 5 petang.
“Air pasang besar turut meningkatkan paras air di hilir saluran keluar dan mengurangkan keupayaan pelepasan air secara graviti. Keadaan ini boleh menghasilkan kesan air balik atau backwater, sekali gus memperlahankan aliran saliran dan meningkatkan paras air di kawasan hulu,” katanya dalam kenyataan.
Sebelum itu Mohd Jafni meninjau kejadian banjir kilat enam lokasi iaitu Ayer Molek, kawasan Tabung Haji, Kampung Mohd Amin, rumah pam di hadapan dataran, Jalan Danga berdepan Tune Hotel dan kawasan sekitar dataran.
Mohd Jafni memberitahu penilaian memberi tumpuan kepada kapasiti takungan, keupayaan saliran membawa aliran puncak, keadaan saluran keluar serta operasi pengepaman ke Selat Johor.
Dalam pada itu, sebanyak RM46.8 juta diperuntukkan pada 2027 khusus untuk pengurusan banjir, termasuk mendalamkan kolam tadahan Kampung Mohd Amin dan menaik taraf kemudahan On-Site Detention (OSD) di Jalan Danga berdepan Tune Hotel.
“Sistem pengepaman juga diperkasa apabila bilangan pam ditambah daripada empat kepada lapan unit untuk mengepam air keluar dari Bandar Johor Bahru ke Selat Johor.
"Namun, prestasi sistem perlu dinilai berdasarkan kadar alir sebenar dan keadaan operasi, bukan hanya jumlah pam yang tersedia,”katanya.
Dalam pada itu, Mohd Jafni berkata, beliau akan mempengerusikan Mesyuarat Task Force Banjir Johor Bahru bersama PBT dan agensi teknikal berkaitan pada Khamis.