MELAKA - Kegiatan seorang suri rumah yang menyamar sebagai Pengarah Kanan Jabatan Imigresen Malaysia sejak lebih setahun lalu terbongkar selepas wanita itu ditahan ketika menjalankan kegiatan berkenaan di sebuah kafe di Taman Malim Jaya di sini pada petang Selasa.
Wanita berusia lingkungan 50-an itu dipercayai sedang menguruskan permohonan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) untuk seorang warga China yang telah membayar RM6,000 bagi mendapatkan perkhidmatan tersebut.
Pengarah Imigresen Melaka, Anirwan Fauzee Mohd Aini berkata, suspek ditahan sekitar jam 6 petang dalam Op Serkap yang dijalankan Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Melaka susulan aduan dan maklumat awam.
Menurutnya, operasi itu dijalankan terhadap seorang individu yang dipercayai menyamar sebagai pegawai kanan imigresen serta menawarkan perkhidmatan menguruskan permohonan pas kerja warga asing tanpa mereka perlu hadir ke pejabat imigresen.
"Serbuan pertama dilakukan di hadapan sebuah kafe di Taman Malim Jaya sebelum membawa kepada serbuan kedua di sebuah kondominium di Taman Kota Laksamana.
"Hasil pemeriksaan di kediaman dan kenderaan suspek, kita menemukan pelbagai barangan termasuk pakaian seragam, tanda pangkat pegawai kanan imigresen dan kad pengenalan JIM yang dipercayai dipalsukan," katanya menerusi sidang akhbar di sini pada Rabu.
Dalam serbuan itu, JIM merampas sebuah kereta Honda Civic, tiga telefon bimbit, sepasang pakaian seragam hitam bersama aksesori, sepasang tanda pangkat pegawai kanan imigresen, collar badge JIM, lencana integriti, tanda nama, lanyard perkhidmatan, lencana Setia Berjasa dan sepasang kasut kerja berwarna hitam.
Turut dirampas dua helai tudung kelabu, dua helai baju-T hitam berlogo JIM, sekeping kad pengenalan JIM yang dipercayai dipalsukan, satu cop nama, satu surat kelulusan berkepala surat JIM serta dua set surat keputusan makmal.
Anirwan berkata, pihaknya masih menyiasat bagaimana suspek memperoleh pakaian seragam dan aksesori imigresen berkenaan serta sama ada terdapat pihak lain yang terlibat.
Ujarnya, suspek dipercayai menyamar sebagai dua pegawai kanan imigresen iaitu Pengarah Kanan di ibu pejabat dan Ketua Integriti JIM.
Katanya, suspek tidak pernah bekerja dengan JIM, sebaliknya merupakan seorang suri rumah dan mempunyai lima anak.
"Suspek dipercayai sudah menjalankan kegiatan ini antara satu hingga dua tahun, namun perkara itu masih dalam siasatan.
"Setakat ini, kami percaya dia bergerak di Melaka secara berpindah-randah dan tidak mempunyai lokasi tetap," katanya.
Katanya, suspek turut menggunakan media sosial termasuk memuat naik gambar mengenakan pakaian seragam imigresen bagi meyakinkan individu yang mendapatkan perkhidmatannya.
Tambahnya, wanita itu ditahan kerana dipercayai melakukan kesalahan di bawah Seksyen 56(1)(k) dan Seksyen 56(1)(l) Akta Imigresen 1959/63.
Suspek direman selama empat hari bermula Rabu bagi membantu siasatan.