Remaja Myanmar tidak dihantar pulang, masih dalam tahanan imigresen

Iklan
Zakaria

PUTRAJAYA - Remaja perempuan Myanmar yang didakwa dihantar pulang ke negara asalnya menerusi Program Penghantaran Pulang disahkan masih berada dalam tahanan di Depot Imigresen dan tidak terlibat dalam program berkenaan.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, perkara itu disahkan berdasarkan hasil semakan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) susulan hantaran yang tular di media sosial.

Iklan
Iklan

"Berdasarkan hasil semakan, JIM mengesahkan bahawa individu berkenaan masih berada dalam tahanan di Depot Imigresen dan tidak terlibat dalam Program Penghantaran Pulang warga Myanmar melalui kapal tentera Myanmar pada 29 September 2026," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Sebelum ini, satu hantaran tular mendakwa seorang remaja perempuan Myanmar berusia 15 tahun yang menggunakan nama samaran Hafsa bakal dihantar pulang ke Myanmar menerusi program berkenaan.

Iklan

Hantaran berkenaan turut mendakwa remaja itu telah berada di Malaysia bersama keluarganya sejak 2020 dan ditahan pihak imigresen pada 29 Mei 2025.

Namun, kemas kini pada Rabu memaklumkan bahawa berlaku campur tangan pada saat akhir dan remaja berkenaan dipercayai tidak dihantar pulang.

Iklan

Beliau berkata, JIM mengambil perhatian terhadap kebimbangan yang dibangkitkan, khususnya berkaitan aspek keselamatan dan kebajikan tahanan.

"Pada masa sama, dalam melaksanakan tanggungjawab penguatkuasaan undang-undang imigresen, JIM turut memberikan perhatian terhadap pertimbangan kemanusiaan, tertakluk kepada peruntukan undang-undang dan prosedur yang berkuat kuasa," katanya.

Menurutnya, pengurusan depot imigresen dilaksanakan mengikut ketetapan dan piawaian antarabangsa seperti United Nations Standard Minimum Rules for the Treatment of Prisoners (The Nelson Mandela Rules).

"Selain itu, kawalan dalaman juga dilaksanakan melalui peruntukan di dalam Peraturan-Peraturan Imigresen (Pentadbiran dan Pengurusan Depot Imigresen) 2003 dan Arahan Tetap Ketua Pengarah Imigresen Mengenai Pentadbiran dan Pengurusan Depot Imigresen dengan mengambil kira prinsip layanan berperikemanusiaan," katanya.

Zakaria berkata, orang ramai diminta tidak menyebarkan maklumat yang belum disahkan kerana ia boleh menimbulkan kekeliruan berhubung tindakan dan proses yang dilaksanakan jabatan itu.

"JIM kekal komited untuk melaksanakan penguatkuasaan undang-undang imigresen secara profesional dan berintegriti, di samping memberikan perhatian sewajarnya terhadap kebajikan dan pertimbangan kemanusiaan," katanya.