JPV Kedah ambil 50 sampel anjing, kucing di Changlun kesan rabies

Iklan
Seorang lelaki di Kubang Pasu meninggal dunia akibat rabies pada Ahad.

JITRA - Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Kedah mengambil 50 sampel anjing dan kucing di sekitar Changlun dalam tempoh empat hari, bagi mengesan kemungkinan jangkitan rabies susulan kes penyakit itu yang dilaporkan di negeri itu.

Pengarah JPV Kedah, Dr Shaharul Akmar Talib berkata, sampel berkenaan diambil daripada anjing dan kucing yang berada berhampiran kawasan kejadian, termasuk menerusi operasi tangkapan dan persampelan yang dijalankan.

Iklan
Iklan

"Setakat ini kita telah mengambil lebih kurang 46 sampel anjing dan semuanya telah dihantar Makmal Veterinar Wilayah Utara, Bukit Tengah, Pulau Pinang untuk pemeriksaan.

"Keputusan sampel dijangka diperoleh dalam tempoh satu hingga dua hari dan setakat ini belum ada sampel yang menunjukkan keputusan positif,” katanya ketika ditemui pada program pemvaksinan anjing di Changlun pada Rabu.

Iklan

Beliau berkata, JPV turut menjalankan pemantauan terhadap anjing dan kucing, termasuk mengambil sampel empat ekor kucing bagi mendapatkan gambaran situasi jangkitan rabies di kawasan terbabit.

Menurutnya, tindakan persampelan dan pemantauan akan diteruskan sehingga pihaknya mendapat gambaran lebih jelas mengenai status rabies di situ.

Iklan

Dr Shaharul Akmar berkata, anjing yang menggigit mangsa dalam kes baru-baru ini telah mati, namun sampel yang diperoleh tidak sesuai untuk menjalani ujian makmal kerana hanya tinggal tulang dan bulu.

"Jadi kita mengambil sampel daripada anjing-anjing lain yang berada berhampiran kawasan tersebut bagi tujuan pemeriksaan,” katanya.

Beliau berkata, selain persampelan, JPV turut melaksanakan program vaksinasi terhadap anjing milik penduduk secara dari rumah ke rumah, selain pemilik membawa haiwan peliharaan mereka ke lokasi vaksinasi ditetapkan.

Katanya, sebanyak 617 ekor anjing milik penduduk telah diberikan vaksin rabies di Kedah sejak Januari tahun ini sebagai langkah pencegahan.

"Bagi anjing yang mempunyai pemilik, kita galakkan pemilik membawa anjing mereka untuk mendapatkan vaksinasi, manakala bagi anjing terbiar, kita menjalankan operasi tangkapan dan persampelan,” katanya.

Dr Shaharul Akmar berkata, Kedah merupakan antara negeri dalam kawasan immune belt bersama Perlis, kawasan utara Perak dan Kelantan berikutan kedudukan bersempadan dengan Thailand yang turut mempunyai risiko rabies.

Beliau berkata, langkah vaksinasi dan persampelan dilaksanakan secara berterusan sebagai usaha mengurangkan risiko penularan penyakit berkenaan, termasuk kemungkinan kemasukan haiwan dijangkiti dari kawasan sempadan.

Beliau turut menasihati orang ramai supaya segera mendapatkan rawatan di klinik kesihatan berdekatan sekiranya digigit atau dicakar anjing atau kucing yang disyaki berisiko.

Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kedah mengesan satu kematian melibatkan kes rabies dalam kalangan manusia yang dilaporkan di negeri ini sejak 1998.

Jabatan itu memaklumkan seorang lelaki berusia 31 tahun dari daerah Kubang Pasu yang mempunyai sejarah digigit anjing terbiar pada Ogos lepas meninggal dunia, Ahad lepas. - Bernama