KYAUKTAW – Keluarga mangsa mencari jasad di sekitar sebuah pasar yang hangus selepas serangan udara tentera Myanmar di Kyauktaw, negeri Rakhine meragut sekurang-kurangnya 50 nyawa dan mencederakan 58 yang lain.
Serangan sekitar tengah hari Isnin itu disifatkan antara pengeboman paling dahsyat sejak perang saudara tercetus susulan rampasan kuasa tentera pada 2021.
Pekerja bantuan, Wai Hun Aung berkata kepada AFP, bahawa angka korban mungkin meningkat kerana terdapat jasad dipercayai musnah dalam kebakaran selepas pengeboman.
Tentera Arakan (AA), kumpulan pemberontak etnik yang menguasai kawasan berkenaan mendakwa mangsa terdiri daripada orang awam termasuk peniaga, pembeli, orang awam yang melalui kawasan itu dan pekerja pemunggah barang.
Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres dilaporkan amat bimbang dengan serangan tersebut dan peningkatan angka korban.
Jurucakapnya, Stephane Dujarric berkata, keganasan berterusan di Rakhine menunjukkan keadaan ketika ini masih tidak sesuai untuk kepulangan pelarian dan penduduk yang kehilangan tempat tinggal secara selamat, sukarela, bermaruah dan berkekalan, termasuk etnik Rohingya.
Data PBB menunjukkan hampir 500,000 penduduk kehilangan tempat tinggal di Rakhine akibat konflik.
Sementara itu, Projek Data Lokasi dan Peristiwa Konflik Bersenjata (ACLED) menganggarkan lebih 100,000 orang terbunuh dalam konflik di Myanmar sejak rampasan kuasa tentera pada 2021. – AFP