IPOH – Mahkamah Majistret Ipoh pada Rabu mengarahkan seorang lelaki yang didakwa membunuh seorang penghuni pusat jagaan awal bulan ini dihantar ke Hospital Bahagia Ulu Kinta, Tanjung Rambutan bagi menjalani penilaian psikiatri.
Tertuduh, Soo Kim Keong, 51, yang juga penghuni pusat jagaan sama, hanya mengangguk tanda faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Norizan Riduan tanpa sebarang pengakuan direkodkan.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa membunuh Chong Mun Long, 28, di sebuah pusat jagaan di Jalan Chemor, Tanjung Rambutan dalam daerah Kinta antara jam 3 pagi hingga 4 pagi pada 3 September 2026.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun serta, jika tidak dijatuhi hukuman mati, dikenakan sekurang-kurangnya 12 sebatan, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, S Kirthana memohon supaya tertuduh dihantar ke hospital psikiatri bagi mendapatkan laporan kesihatan mental memandangkan keadaannya didakwa tidak stabil.
Mahkamah kemudian membenarkan permohonan tersebut dan mengarahkan tertuduh menjalani penilaian di Hospital Bahagia Ulu Kinta untuk penyediaan laporan psikiatri.
Kes itu ditetapkan untuk sebutan semula pada 30 Oktober depan bagi serahan laporan berkenaan.
Berdasarkan fakta kes, difahamkan berlaku perselisihan faham antara tertuduh dan mangsa sebelum Chong ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri.
Mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh untuk menerima rawatan sebelum disahkan meninggal dunia pada 17 September lalu.
Hasil bedah siasat mendapati punca kematian mangsa adalah akibat jangkitan paru-paru serta kecederaan tumpul pada bahagian kepala.
Susulan itu, polis menahan tertuduh pada 18 September lalu bagi membantu siasatan berhubung kematian mangsa.