KUCHING - Polis akan mendapatkan bantuan pihak berkuasa antarabangsa termasuk Interpol bagi mengesan beberapa individu dipercayai melarikan diri ke luar negara berhubung kes khianat melibatkan kedai serbaneka di beberapa bahagian di negeri ini baru-baru ini.
Pengarah Pengurusan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Mohamad Zainal Abdullah yang juga Pesuruhjaya Polis Sarawak berkata, setakat ini tiga individu telah ditahan manakala kira-kira 10 lagi dikenal pasti mempunyai kaitan dengan kumpulan itu.
"Kita telah mengenal pasti lebih kurang 10 orang setakat hari ini, mungkin banyak lagi kumpulan ini. Ada dikenal pasti melarikan diri keluar negara,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Polis Kontinjen Sarawak di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak di sini pada Rabu.
Beliau berkata, siasatan mendapati kes itu dipercayai berpunca daripada perebutan perniagaan, termasuk penjualan tambah nilai yang dipercayai digunakan bagi aktiviti perjudian dalam talian.
Mohamad Zainal berkata, polis turut mengenal pasti penyalahgunaan lesen perniagaan oleh sesetengah kedai serbaneka terlibat dalam penjualan top-up berkenaan dan akan mengemukakan surat kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk tindakan lanjut.
Pada 21 September lepas, Mohamad Zainal berkata, polis sedang memburu suspek serangan ke atas kedai serbaneka di Kuching dan Sri Aman pada 20 September, dengan objek dipercayai mengandungi bahan letupan atau bahan mudah terbakar dibaling ke dalam premis itu.
Polis menerima dua laporan berhubung insiden berkenaan yang mempunyai modus operandi serupa.
Sementara itu, beliau berkata, pihak polis kini hampir melengkapkan siasatan terhadap nahas helikopter Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) di Long Lellang, namun punca kejadian masih belum dikenal pasti, dengan siasatan setakat ini tidak menemukan unsur khianat.
"Kita percaya mungkin insiden ini disebabkan masalah-masalah teknikal, tetapi itu bergantung kepada siasatan yang akan diumumkan oleh Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU),” katanya. - Bernama