PBB bimbang selepas Malaysia hantar pulang warga Myanmar

Iklan
Bas membawa warga Myanmar yang dihantar pulang ke negara asal menuju ke pangkalan tentera laut di Lumut pada 29 September 2026. Foto: AFP

GENEVA – Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyuarakan kebimbangan selepas Malaysia mula menghantar pulang kira-kira 1,500 warga Myanmar pada Selasa ke negara yang masih dilanda konflik.

Kumpulan tersebut merupakan fasa pertama daripada 5,000 warga Myanmar yang menurut Malaysia bersetuju untuk dihantar pulang secara sukarela dari pusat tahanan.

Iklan
Iklan

“Kami bimbang,” kata jurucakap Agensi Pelarian PBB (UNHCR), Matthew Saltmarsh kepada wartawan di Geneva.

Menurutnya, konflik bersenjata, keganasan meluas dan pencabulan hak asasi manusia yang masih berlaku menyebabkan keadaan di Myanmar belum sesuai untuk proses penghantaran pulang.

Iklan

“UNHCR berpendirian bahawa keadaan semasa tidak membolehkan kepulangan secara selamat, bermaruah dan mampan,” katanya lagi.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Julai mengumumkan bahawa Myanmar bersetuju menerima semula 5,000 anggota minoriti Rohingya yang berdepan penganiayaan.

Iklan

Menurut PBB, etnik minoriti Islam itu membentuk kira-kira dua pertiga daripada 190,000 pelarian dan pencari suaka Myanmar yang berada di Malaysia.

Saltmarsh turut mengingatkan mengenai kewajipan di bawah undang-undang antarabangsa.

“Tiada sesiapa sepatutnya dihantar ke negara yang boleh menyebabkan mereka berdepan penganiayaan, penyeksaan, bahaya serius atau ancaman lain terhadap nyawa, kebebasan dan keselamatan,” tegasnya.

Myanmar pada awal bulan ini berjanji memastikan kepulangan rakyatnya yang berada di luar negara dilakukan secara 'selamat dan bermaruah' selepas menerima kritikan daripada PBB serta kumpulan hak asasi manusia. - AFP