Anjing liar: Antara simpati dan keselamatan awam

Iklan
Jamaliah menunjukkan gambar arwah semasa ditemui di Pasar Tani Kekal Changlun pada Isnin.

KEHADIRAN anjing liar atau terbiar di kawasan perumahan, kampung dan tempat awam sering menimbulkan pelbagai reaksi dalam kalangan masyarakat.

Ada yang berasa takut apabila melihat sekumpulan anjing berkeliaran, terutama apabila haiwan tersebut menghampiri kanak-kanak atau menunjukkan tingkah laku agresif.

Iklan
Iklan

Pada masa sama, tidak kurang juga yang berasa simpati apabila melihat anjing terbiar dalam keadaan kelaparan, cedera atau hidup tanpa penjagaan.

Atas rasa belas kasihan, ada individu yang memberi makanan atau membantu haiwan berkenaan. Bagi sesetengah pihak, ia merupakan satu bentuk keprihatinan yang sukar untuk diketepikan.

Iklan

Namun, beberapa insiden serangan anjing liar dan kes rabies yang dilaporkan kebelakangan ini mengingatkan masyarakat bahawa haiwan terbiar tetap perlu didekati dengan berhati-hati walaupun kelihatan jinak.

Lebih menyedihkan apabila ada individu yang pada awalnya berniat membantu akhirnya berdepan risiko selepas digigit oleh haiwan tersebut.

Iklan

Kes berkenaan merupakan kes rabies pertama melibatkan manusia yang direkodkan di Kedah sejak tahun 1998.

Lebih menyentuh hati, mangsa dilaporkan seorang yang menyayangi haiwan dan sering memberikan makanan kepada anjing tersebut kerana rasa simpati.

Di Johor pula, seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun dilaporkan cedera parah selepas diserang sekumpulan anjing dipercayai liar di Peserai, Batu Pahat pada September lalu.

Sebelum itu, pada November 2024, seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun tujuh bulan maut selepas dipercayai diserang dan digigit sekumpulan anjing liar di Kampung Sungai Tohok, Semporna, Sabah.

Rentetan kejadian tersebut, jelas bahawa isu anjing liar bukan sekadar soal rasa takut atau simpati, sebaliknya berkait rapat dengan aspek keselamatan awam dan kesihatan.

Bagaimanapun, kebimbangan terhadap kehadiran anjing liar tidak seharusnya mendorong orang ramai mengambil tindakan sendiri.

Susulan kematian lelaki di Kubang Pasu akibat rabies, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Kedah (JPVK) turut mengingatkan orang ramai supaya tidak menangkap, memukul atau membunuh haiwan yang disyaki dijangkiti rabies.

Sebaliknya, kes seperti itu perlu segera dilaporkan kepada pihak berkuasa agar tindakan dapat diambil menggunakan prosedur yang selamat dan terkawal.

Sekiranya orang ramai melihat anjing berkeliaran dalam jumlah yang banyak, menunjukkan tingkah laku agresif, mengejar orang ramai atau sering berada di kawasan laluan kanak-kanak, perkara tersebut wajar dilaporkan kepada pihak berkuasa tempatan atau jabatan veterinar.

Dalam keadaan panik, tindakan spontan mungkin kelihatan sebagai jalan penyelesaian paling pantas. Namun, tindakan sedemikian juga boleh menyebabkan haiwan terbabit menjadi lebih agresif dan meningkatkan risiko serangan atau gigitan.

Dalam menangani isu anjing liar, rasa takut dan simpati perlu diseimbangkan dengan tindakan yang bertanggungjawab.

Masyarakat tidak perlu memusuhi haiwan berkenaan, namun keselamatan diri dan keluarga juga tidak boleh dipandang ringan.

Jika kehadirannya menimbulkan ancaman kepada orang awam, saluran yang betul ialah melaporkannya kepada pihak berkuasa supaya tindakan sewajarnya dapat diambil.

Pada akhirnya, pengurusan isu anjing liar memerlukan kerjasama semua pihak. Simpati terhadap haiwan wajar dipupuk, tetapi keselamatan awam mesti kekal menjadi keutamaan.