Sindiket penipuan dan judi dalam talian digempur, 74 warga asing diberkas

Iklan
M Kumar

KUALA LUMPUR - Premis kediaman dijadikan calling centre melibatkan sindiket penipuan dan judi dalam talian antara digempur menerusi Op Dadu Khas sekitar Kuala Lumpur pada Isnin.

Operasi itu dilancarkan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman dengan kerjasama Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman.

Iklan
Iklan

Pengarah JSJ Bukit Aman, Datuk M Kumar berkata, serbuan secara serentak itu menyasarkan premis kediaman yang dipercayai dijadikan pusat operasi sindiket membabitkan warga asing.

"Sebanyak lapan premis telah diserbu dan hasil pemeriksaan mendapati premis berkenaan dipercayai mempunyai kaitan dengan beberapa aktiviti jenayah dalam talian.

Iklan

"Antaranya mempromosikan perjudian dalam talian, menjalankan aktiviti love scam, penipuan pelaburan tidak wujud secara dalam talian serta dijadikan hostel atau tempat penginapan operator calling centre," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Menurutnya, dalam operasi itu seramai 74 warga asing ditahan terdiri daripada 67 lelaki dan tujuh wanita berusia antara 20 hingga 50 tahun.

Iklan

"Daripada jumlah itu, 61 adalah warga China, 12 warga Vietnam dan seorang warga Taiwan berdasarkan semakan awal dokumen pengenalan diri yang dirampas daripada tangkapan," katanya.

Beliau berkata, polis turut merampas pelbagai peralatan yang dipercayai digunakan untuk menjalankan aktiviti perjudian dalam talian.

"Antara yang dirampas ialah set komputer, komputer riba, modem dan telefon bimbit pelbagai jenama," katanya.

Tambahnya, pasukan serbuan turut menemukan satu paket plastik lutsinar mengandungi lima biji pil berwarna kemerahan disyaki dadah jenis yaba dengan anggaran berat 0.8 gram.

"Turut dirampas satu paket plastik lutsinar mengandungi serbuk dan ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu dengan anggaran berat 5.72 gram," katanya.

Kumar berkata, sebanyak lapan kertas siasatan dibuka bagi menjalankan siasatan mengikut beberapa peruntukan undang-undang.

"Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953, Seksyen 420 dan Seksyen 120B Kanun Keseksaan, Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 serta Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63," katanya.

Dalam pada itu, PDRM menegaskan komitmen untuk membanteras aktiviti perjudian kerana kegiatan berkenaan memberi kesan negatif terhadap kestabilan ekonomi negara dan keharmonian sosial.

"Tindakan total enforcement terhadap semua bentuk aktiviti perjudian tanpa lesen akan terus dipergiat dengan membabitkan pelbagai elemen termasuk pihak berkuasa tempatan," katanya.

"Orang ramai diminta supaya terus menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa bagi membantu membanteras kegiatan perjudian daripada terus berleluasa," katanya.