MERSING - Seorang lelaki dipercayai bertindak memukul penunggang motosikal selepas didakwa tidak berpuas hati bunyi ekzos motosikal mengejutkan bayinya yang sedang tidur, di sebuah kedai serbaneka di Jalan Ismail, di sini pada Jumaat lalu.
Ketua Polis Daerah Mersing, Superintenden Abdul Razak Abdullah Sani berkata, maklumat berhubung kejadian itu diterima selepas video berdurasi satu minit 45 saat itu tular di laman sosial.
"Hasil siasatan mendapati kejadian berlaku pada kira-kira jam 1 pagi.
"Suspek berusia 29 tahun yang juga lelaki tempatan berang apabila mendakwa remaja lelaki berusia 19 tahun itu memotong kenderaan yang dinaikinya dan membunyikan ekzos dengan kuat hingga menyebabkan bayi yang dipangku isterinya terjaga dan menangis.
“Suspek kemudian bertindak memukul mangsa. Akibat kejadian itu, mangsa mendapatkan rawatan di hospital dan disahkan mengalami kecederaan pada bahagian pipi kiri dan perut,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Abdul Razak berkata, kertas siasatan dibuka dan kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan.
"Kertas siasatan sudah dilengkapkan dan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Johor hari ini untuk tindakan selanjutnya.
“Suspek diarahkan untuk dituduh mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan pertuduhan akan dibuat di Mahkamah Majistret Mersing esok," ujarnya.