SHAH ALAM – Seramai 1,476 warga Myanmar dihantar pulang ke negara asal mereka hari ini menerusi fasa pertama program penghantaran pulang berdasarkan senarai yang dikemukakan melalui nota diplomatik rasmi negara berkenaan.
Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa fasa penghantaran pulang seterusnya tertakluk kepada penyempurnaan proses pengenalpastian, dokumentasi dan verifikasi, selain kesiapsiagaan logistik serta penyelarasan operasi antara kedua-dua negara.
Menurut KDN, kejayaan pelaksanaan fasa pertama itu mencerminkan kesungguhan dan komitmen Kerajaan MADANI dalam menangani isu berkaitan migrasi tidak teratur secara tegas, tersusun dan berkesan.
“Langkah ini turut memberi isyarat jelas bahawa kerajaan serius dalam menangani isu migrasi tidak teratur dan pendatang asing tanpa izin menerusi penguatkuasaan undang-undang, penghantaran pulang, pengurusan serta pendataan yang lebih sistematik.
“Sehingga 15 Ogos 2026, seramai 10,388 warga Myanmar yang ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen sedang melalui proses pengesahan identiti, status imigresen dan semakan latar belakang keselamatan.
“Daripada jumlah itu, seramai 5,000 warga Myanmar telah dimuktamadkan untuk menyertai program penghantaran pulang secara sukarela dan berperingkat ke negara asal berdasarkan persetujuan Kerajaan Myanmar serta individu yang terlibat,” menurut kenyataan itu pada Selasa.
KDN berkata, proses penghantaran pulang dilaksanakan melalui laluan laut menggunakan dua kapal dan sebuah kapal hospital milik Kerajaan Myanmar dengan penyelarasan melibatkan KDN, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) serta agensi berkaitan.
Menurut kementerian itu, isu kehadiran pelarian asing di Malaysia, khususnya dari Myanmar yang merangkumi lebih 95 peratus daripada keseluruhan pelarian di negara ini, telah berlarutan sejak sekian lama tanpa penyelesaian menyeluruh.
“Kepincangan yang berlaku sebelum ini telah memberi beban kewangan kepada negara, menimbulkan pelbagai cabaran sosial serta mewujudkan risiko keselamatan yang perlu ditangani secara berkesan.
“Menerusi rundingan diplomatik bersama Kerajaan Myanmar dan penguatkuasaan undang-undang yang berterusan, kerajaan dapat memperkukuh pengurusan warga asing serta individu yang mendakwa sebagai pelarian berdasarkan identiti yang telah dikenal pasti.
“Pendekatan ini membolehkan tindakan susulan dilaksanakan secara lebih teratur berdasarkan undang-undang dan prosedur yang berkuat kuasa,” katanya.