RUA AlHaram AlMakki Company (RUA), syarikat milik Public Investment Fund (PIF) dan pemaju induk King Salman Gate, menjalin kerjasama dengan MRCB International Sdn Bhd (MRCB) bagi meneroka pembangunan destinasi bercampur berorientasikan pengangkutan berskala besar dalam King Salman Gate di Makkah, dengan nilai pembangunan kasar (GDV) indikatif kira-kira 21 bilion riyal (RM22.8 bilion).
Cadangan pembangunan tersebut akan mengintegrasikan terminal bas awam dengan komponen kediaman, hospitaliti, komersial, peruncitan serta pembangunan guna campuran lain dalam King Salman Gate.
Selain pembangunan infrastruktur fizikal, kerjasama tersebut turut meneroka bagaimana pengangkutan dan perkhidmatan sokongan dapat menyediakan perjalanan yang lebih lancar.
Selain itu, ia juga bagi meningkatkan aksesibiliti serta memudahkan pergerakan, di samping menyumbang kepada pengalaman keseluruhan yang lebih baik untuk jemaah dan pengunjung ke Makkah.
Menurut MRCB, Kerjasama tersebut mencerminkan peningkatan minat daripada institusi terkemuka di seluruh dunia Islam untuk menyumbang kepada pembangunan jangka panjang Makkah.
Ia juga bertujuan menyokong pendekatan bersepadu merangkumi aspek pelaburan, pembangunan, mobiliti serta perkhidmatan kepada pengunjung.
"Antara fokus utama kerjasama itu ialah pengalaman MRCB dalam pembangunan berorientasikan transit serta hab pengangkutan bersepadu.
"Portfolio MRCB merangkumi KL Sentral, hab pengangkutan bersepadu terbesar di Malaysia yang menjadi contoh pendekatan syarikat dalam menggabungkan rangkaian pengangkutan dengan pelbagai fungsi bandar yang lebih luas," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Kerjasama tersebut dimeterai di Kuala Lumpur oleh Ketua Pegawai Eksekutif RUA AlHaram AlMakki, Bambang Kajairi, dan Pengarah Urusan Kumpulan MRCB, Datuk Imran Salim.
Selepas majlis menandatangani perjanjian tersebut, delegasi berkenaan mengadakan kunjungan hormat kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bagi memberikan gambaran keseluruhan mengenai projek yang dicadangkan serta kerjasama antara kedua-dua pihak.
Bagi King Salman Gate, kerjasama berkenaan membuka ruang kepada penyertaan pelaburan dan pembangunan antarabangsa yang menyokong aspirasi RUA AlHaram AlMakki untuk meningkatkan kapasiti Makkah dalam menerima jemaah haji, umrah dan pengunjung dari seluruh dunia.
Sebagai syarikat milik PIF dan pemaju induk King Salman Gate, RUA AlHaram AlMakki mewujudkan platform berstruktur yang membolehkan institusi Islam antarabangsa mengambil bahagian dalam pembangunan destinasi berkenaan, sementara RUA AlHaram AlMakki kekal bertanggungjawab terhadap keseluruhan visi dan pelaksanaannya.
Kerjasama dengan MRCB menunjukkan peranan RUA AlHaram AlMakki dalam menghubungkan kekuatan institusi serta aspirasi jangka panjang ekosistem PIF dengan modal antarabangsa dan kepakaran pembangunan.
Selaras dengan objektif Saudi Vision 2030, King Salman Gate mencerminkan aspirasi RUA AlHaram AlMakki untuk meningkatkan pengalaman jemaah dan pengunjung dari seluruh dunia, di samping memelihara warisan unik Makkah.