Perhilitan pantau kemunculan kambing gurun di Genting Highlands

Iklan
Tangkap layar rakaman video tular perkongsian di Threads @Tenggiling69 berkenaan kehadiran kambing gurun di sekitar Genting Highlands.

SHAH ALAM – Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) menjalankan pemantauan susulan penularan video yang memaparkan kehadiran seekor kambing gurun (Capricornis sumatrensis) di kawasan sekitar Genting Highlands, Pahang baru-baru ini.

Timbalan Ketua Pengarah (Konservasi) Perhilitan, Datuk Fakhrul Hatta Musa berkata, perkara itu kini berada di bawah perhatian jabatan dan tindakan lanjut sedang dilaksanakan.

Iklan
Iklan

“Perkara ini sedang dipantau dan tindakan susulan sedang dilaksanakan oleh Jabatan Perhilitan.

“Orang awam yang menemui hidupan liar dalam situasi berbahaya diminta segera menghubungi Hotline Perhilitan di talian 1-800-88-5151 sebagai usaha bersama dalam melindungi khazanah alam negara,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.

Iklan

Menurut beliau, Perhilitan sentiasa menjalankan pemantauan terhadap spesies hidupan liar terbabit di habitat semula jadinya.

Pada Isnin, tular satu rakaman video yang dimuat naik oleh pengguna jalan raya memaparkan seekor kambing gurun sedang melintas jalan di kawasan tanah tinggi berkenaan.

Iklan

Haiwan itu kemudiannya dilihat memanjat tebing berhampiran sebelum rakaman video tersebut berakhir.

Kambing gurun atau Capricornis sumatrensis merupakan spesies hidupan liar yang dilindungi sepenuhnya di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010.

Sebelum ini, pada November 2024, seekor anak kambing gurun yang tersesat di kawasan kuari di Bandar Mahkota Cheras berjaya diselamatkan oleh Perhilitan.