SHAH ALAM - Allahyarham Tun Dr Hasmah Mohd Ali bukan berada di belakang suaminya, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, sebaliknya sentiasa berada di sisi sepanjang perjalanan hidup dan kerjaya negarawan itu.
Dalam satu temubual bersama Astro Awani, bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Rafidah Aziz berpandangan, Tun Hasmah sebagai wanita hebat yang mempunyai pencapaian dan kedudukan tersendiri dalam masyarakat.
"Kak Hasmah bukan di belakang Tun, (tetapi) di sisi Tun. Bukan di belakang kerana dia sendiri ada tempat dalam masyarakat. Di sisi, maknanya dia menganggap Tun sebagai suami, bukan sebagai Perdana Menteri," katanya.
Rafidah berkata, beliau mengenali Allahyarham lebih 60 tahun sejak berusia 20-an terutama menerusi aktiviti wanita dan kemasyarakatan.
Kongsinya, sepanjang mengenali Allahyarhamah, beliau tidak pernah melihat wanita itu berubah walaupun selepas bergelar isteri kepada Perdana Menteri dan kemudiannya menjadi ‘First Lady’.
“Saya panggil dia Kak Hasmah, dia tak pernah panggil lain. Dia panggil saya Rafidah.
"Bagi saya, kita kehilangan seorang wanita yang betul-betul wanita contoh. Dia tidak ada aksi, tidak ada muka-muka. Tidak ada hendak buat lain daripada itulah dia. Apa yang awak tengok, itulah Kak Hasmah,” ujarnya.
Rafidah berkata, sifat rendah diri Hasmah tidak berubah walaupun beliau kemudiannya menggalas tanggungjawab sebagai isteri Perdana Menteri dan First Lady.
Menurut beliau, hubungan Hasmah dan Mahathir turut memperlihatkan pasangan suami isteri yang saling melengkapi termasuk ketika bersama dalam lawatan ke luar negara.
Katanya, Hasmah tidak pernah menunjukkan sikap angkuh atau cuba membesarkan dirinya walaupun memegang peranan sebagai isteri kepada seorang Perdana Menteri.
"Mereka tengok bergurau, gelak-gelak. Jadi sebenarnya di sisi Tun ialah seorang isteri yang macam Kak Hasmah. Susah nak cari.
"Tak ada langsung angkuh, tak pernah nak besarkan diri. Itu yang saya hormat sangat," ujarnya lagi.
Rafidah berkata, Hasmah juga wajar dijadikan contoh kepada wanita kerana pencapaiannya sebagai antara wanita Melayu terawal dalam bidang perubatan.
"Memandangkan dia wanita pertama bekerja sebagai doktor Melayu, maknanya semangat dia untuk maju ke hadapan atas diri dia sendiri dengan keupayaan dia dalam bidang yang tak pernah diterokai oleh wanita.
“Maka itu harus menjadi contoh bagi kita. Zaman dulu lagi, cerita zaman mak kita, dia dah jadi doktor. Maknanya dicontohi bagaimana seorang wanita boleh maju ke hadapan kalau dia berusaha dan gigih," tambah beliau.
Menurutnya, Hasmah merupakan seorang yang serius dalam melaksanakan tugas serta sentiasa berusaha memberikan yang terbaik dalam setiap tanggungjawab dipikul.
“Dia seorang yang memang berusaha dan gigih. Dia serius, pekerjaannya dia buat dengan serius. Jadi contohnya adalah sebagai wanita yang berazam untuk melakukan apa yang terbaik,” katanya.