Pertemuan terakhir tinggalkan kesan mendalam, Ahmad Samsuri kenang Allahyarham Tun Dr Hasmah

Iklan
Ahmad Samsuri (kanan) bersama Tuan Faizah (kiri) ketika pertemuan terakhir di kediaman Allahyarham pada 20 September lalu. Foto: Facebook Dr Ahmad Samsuri Mokhtar

​KUALA TERENGGANU - Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar meluahkan rasa sedih dan mengimbau kenangan manis selepas mengadakan pertemuan serta makan malam terakhir bersama Allahyarham Tun Dr Hasmah Mohd Ali, seminggu sebelum pemergian tokoh negara itu.

Menerusi hantaran di media sosialnya pada Selasa, beliau berkata, pertemuan selama 90 minit di kediaman Tun Dr Mahathir Mohamad dan Allahyarham pada malam Ahad, 20 September lalu, meninggalkan kesan mendalam yang tidak akan dilupakan beliau dan isteri, Toh Puan Seri Tuan Faizah Tuan Ab Rahman.

Iklan
Iklan

​Beliau menyifatkan pertemuan tersebut sebagai satu detik singkat pada hitungan waktu, namun sarat dengan pelbagai cerita, keramahan serta keceriaan wajah Allahyarham yang kekal bersemangat membincangkan isu kesejahteraan masyarakat, khususnya kesihatan wanita di desa.

​"Beliau turut menyatakan kesediaannya untuk turun memberi ceramah kesedaran kesihatan wanita, membuktikan semangat juang Allahyarham tidak pernah pudar," katanya.

Iklan
Ahmad Samsuri dan isteri di kediamannya pada 20 September lalu. Foto: Facebook Dr Ahmad Samsuri Mokhtar

​Mengimbau kembali suasana malam itu, Ahmad Samsuri turut berkongsi cerita lucu dan mesra apabila Allahyarham mengimbau kenangan awal berkhidmat sebagai doktor perubatan wanita di pedalaman Kedah selepas mendirikan rumah tangga bersama Tun Dr Mahathir.

​Antara kenangan yang mencuit hati adalah pengalaman Allahyarham membonceng motosikal untuk merawat pesakit di kampung sebelum terjatuh ke dalam bendang akibat jalan berlubang, di samping kisah ringan mengenai sisi pengasih dan ketelitian Allahyarham terhadap warisan tradisi songket Terengganu.

Iklan

Katanya, ​suasana makan malam ringkas tetapi menyelerakan itu turut diwarnai dengan gelak tawa apabila Allahyarham sempat mengusik Tun Dr Mahathir mengenai gelagat rakyat pelbagai lapisan umur yang berebut-rebut ingin merakamkan gambar kenangan.

​"Pernah juga Allahyarham berpesan kepada kami untuk selalu datang ke rumah kerana bicara di rumah adalah lebih dekat berbanding di pejabat atau tempat awam. Pertemuan ini akan sentiasa menjadi kenangan yang amat berharga buat saya dan isteri," tambahnya.

Gambar kenangan Tuan Faizah bersama Allahyarham Tun Dr Hasmah yang dikongsikan menerusi hantaran di media sosial Ahmad Samsuri pada Selasa.

​Mengakhiri hantaran tersebut, Ahmad Samsuri merakamkan ucapan takziah yang tulus kepada Tun Dr Mahathir serta seluruh ahli keluarga di atas pemergian Allahyarham Tun Dr Hasmah pada Isnin.

​"Semoga ALLAH SWT mengampuni Allahyarham, menerima segala amal kebajikannya dan menempatkannya dalam kalangan hambaNya yang beroleh rahmat," ujar beliau.

Jenazah Allahyarham Tun Dr Hasmah selamat dikebumikan di Pusara Negara, Presint 20, Putrajaya jam 6.20 petang pada Isnin.

Pengebumian Allahyarham diberi penghormatan menerusi Istiadat Pengebumian Pembesar Negara.