MDEC bangunkan Playbook AI ikut industri, bantu PKS laksana transformasi

Iklan
Jason (kanan) ketika sesi forum bertajuk What Malaysia Builds Next yang dihoskan oleh Ganesh Kumar sempena MDEC Forum 2026, dirasmikan Menteri Digital, Gobind Singh Deo pada Isnin. - Foto: SINAR HARIAN / MOHD HALIM ABDUL WAHID

SEBUAH sistem panduan langkah demi langkah penggunaan kecerdasan buatan (AI) mengikut industri sedang dibangunkan oleh Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) bagi membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) melaksanakan transformasi digital secara lebih tersusun.

Pengerusi MDEC, Ganesh Kumar Bangah berkata,sistem playbook tersebut akan disesuaikan dengan keperluan setiap industri, termasuk sektor seperti percukaian, supaya perniagaan mempunyai kerangka yang jelas tentang langkah-langkah penggunaan AI dalam operasi masing-masing.

Iklan
Iklan

Menurutnya, sistem tersebut akan tumpuan diberikan kepada penyelesaian masalah pelanggan berbanding sekadar penggunaan teknologi.

"Malaysia kini memasuki fasa baharu yang memerlukan tumpuan beralih daripada sekadar penggunaan AI kepada pembinaan ekonomi AI yang mampu menjana nilai secara mampan dan boleh diukur.

Iklan

"Peluang AI Malaysia bukan lagi sekadar menggunakan AI, tetapi membina ekonomi berasaskan AI. Persoalan sebenar ialah sama ada AI mampu mewujudkan nilai yang boleh diukur dengan membantu perniagaan menjadi lebih produktif, membolehkan PKS berkembang, menghasilkan produk dan perkhidmatan Malaysia serta membuka peluang bernilai tinggi kepada rakyat.

"Ini memerlukan ekosistem yang merangkumi syarikat pembangun AI, perniagaan yang menggunakannya, bakat yang mahir, pelabur yang sanggup menyokong serta pasaran yang membolehkan penyelesaian Malaysia berkembang," katanya ketika sesi forum bertajuk What Malaysia Builds Next sempena MDEC Forum 2026, dirasmikan Menteri Digital, Gobind Singh Deo, di sini, pada Isnin.

Iklan

Peserta yang hadir pada sesi forum bertajuk What Malaysia Builds Next sempena MDEC Forum 2026, dirasmikan Menteri Digital, Gobind Singh Deo pada Isnin.

Forum tersebut menampilkan Pengasas Sosa Research, Jason Sosa sebagai panel.

Mengulas mengenai prinsip yang perlu menjadi asas kepada pembangunan playbook tersebut, Jason berkata, setiap industri mempunyai keperluan yang berbeza, namun prinsip asas transformasi AI adalah sama, iaitu bermula dengan memahami masalah sebenar pelanggan.

Dalam masa sama, Jason turut menjawab persoalan dibangkitkan Gobind mengenai bagaimana kerajaan boleh membuat persediaan menghadapi era AI, khususnya apabila sektor awam tidak mempunyai fleksibiliti untuk 'bermula dari awal' seperti syarikat swasta dan perlu mengekalkan kesinambungan serta kestabilan pentadbiran.

Jason berkata, Malaysia mempunyai peluang besar untuk membina ekonomi digital yang bernilai tinggi sekiranya kecerdasan buatan (AI) dimanfaatkan sebagai pemangkin kepada perubahan proses dan institusi, bukan sekadar ditambah pada sistem sedia ada.

Katanya, potensi sebenar AI bukan terletak pada teknologi semata-mata, sebaliknya bagaimana organisasi dan kerajaan berani menilai semula cara kerja yang diwarisi selama bertahun-tahun bagi menghasilkan penyampaian yang lebih cekap.

"Saya berpendapat memang wujud ruang untuk menjalankan eksperimen di luar jabatan rasmi kerajaan.

"Eksperimen-eksperimen tersebut boleh menghasilkan bukti awal yang akhirnya membantu meyakinkan lebih ramai pihak untuk menerima perubahan itu," katanya.

MDEC Forum 2026 menghimpunkan kira-kira 300 wakil pelabur global, syarikat teknologi, agensi kerajaan negeri dan perusahaan Malaysia bagi membincangkan bagaimana fasa baharu berkenaan boleh diterjemahkan kepada nilai ekonomi yang nyata.

Pada MDEC Forum 2026, 12 syarikat menerima pengiktirafan Status Malaysia Digital (MD) yang mewakili pelbagai aktiviti digital termasuk AI, pusat data dan awan, Internet Kebendaan (IoT), teknologi kewangan (Fintech) dan teknologi media kreatif.