iPhone ‘refurbished’ RM716,000 disembunyi dalam bot sayur

Iklan
Roslan (tiga dari kiri) pada sidang akhbar rampasan iPhone dan rokok dalam dua operasi berasingan.

MELAKA - Tindakan licik sebuah bot negara jiran cuba menyeludup keluar iPhone ‘refurbished’ selepas selesai menghantar dagangan sayur ke dalam negara berjaya dipatahkan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

Pengarah Kastam Negeri Melaka, Roslan Yusoff berkata, sebanyak 701 unit telefon bimbit terpakai jenama itu bernilai RM716,184 termasuk duti dan cukai dirampas dalam pemeriksaan di sebuah jeti di Pelabuhan Klang, Selangor, pada 23 Julai lalu.

Iklan
Iklan

Menurutnya, bot berkenaan yang membawa 11 anak kapal tiba di jeti terbabit pada 22 Julai untuk menghantar muatan sayur-sayuran sebelum dijadualkan kembali ke negara asal, Indonesia.

iPhone refurbished yang dirampas dalam bot Indonesia.

Iklan

“Berdasarkan dokumen pengikraran yang dikemukakan kepada JKDM, bot itu dijadualkan kembali ke negara asal selepas selesai menghantar muatan sayur-sayuran tanpa membawa sebarang dagangan dan hanya membawa pulang 250 kotak kosong.

“Bagaimanapun, pemeriksaan yang dilakukan kira-kira jam 4.30 pagi keesokan harinya menemukan 701 unit telefon bimbit terpakai pelbagai model iPhone 11 hingga 16 Pro Max yang disimpan dalam beberapa kotak, dibalut plastik hitam dan disembunyikan di bahagian dalam bot,” katanya menerusi sidang akhbar di bangunan JKDM pada Selasa.

Iklan

Roslan berkata, telefon bimbit berkenaan dipercayai cuba dibawa keluar dari Malaysia tanpa diikrar kepada JKDM, selain tertakluk kepada cukai pada kadar lima peratus serta permit daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS) kerana ia merupakan barangan terpakai.

“Telefon bimbit itu sepatutnya diikrar di bawah kod tarif 8517.13.000 dan tertakluk kepada kehendak di bawah Butiran 43, Jadual Ketiga, Bahagian I, Perintah Kastam (Larangan Mengenai Eksport) 2023.

“Setakat ini kita sedang menjalankan siasatan untuk mengenal pasti sama ada ini merupakan kali pertama mereka melakukan kesalahan seumpama ini atau terdapat kesalahan terdahulu,” katanya.

Katanya, kesemua 11 anak kapal warga asing berusia antara 34 hingga 61 tahun ditahan bagi membantu siasatan.

“Turut ditahan seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 30-an yang mewakili syarikat ejen penghantaran dan bertanggungjawab menguruskan dokumen pengikraran berkaitan.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967,” katanya.

Jika disabitkan kesalahan, katanya, mahkamah boleh mengenakan denda tidak kurang 10 kali nilai barang atau RM50,000, mana-mana yang lebih tinggi dan tidak melebihi 20 kali nilai barang atau RM500,000, mana-mana yang lebih tinggi, atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Dalam kes berasingan, JKDM turut merampas sebuah lori kurier yang membawa 870,000 batang rokok tidak berkastam dianggarkan bernilai RM811,180 termasuk duti dan cukai pada Ogos lalu.

Roslan berkata, berdasarkan maklumat risikan, pasukan menjalankan pemantauan di sekitar Kuala Lipis, Pahang sejak sehari sebelum lori terbabit ditahan.

“Hasil pemeriksaan ke atas lori itu menemukan sejumlah rokok yang tidak dilekatkan setem cukai Kastam dan disembunyikan di bahagian dalam lori dengan dilindungi barangan lain.

“Pemandu lori berusia lingkungan 40-an gagal mengemukakan sebarang dokumen berkaitan rokok yang dibawa sebelum ditahan dan dibawa ke pejabat untuk siasatan lanjut,” katanya.

Beliau berkata, kes berkenaan turut disiasat di bawah Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967 jika sabit salah boleh dikenakan sehingga RM500,000 atau tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.