MELAKA - [DIKEMAS KINI] Seorang penolong pegawai perubatan yang dalam perjalanan ke tempat kerja maut selepas motosikal ditunggangnya merempuh sebuah kereta dipandu seorang wanita bersama tiga kanak-kanak di Jalan Tunku Abdul Rahman, Batu Berendam di sini pagi Selasa.
Dalam kejadian kira-kira jam 6.50 pagi itu, mangsa, Mohd Amirul Ikhmal Saifullizam, 32, yang bertugas di Unit Hemodialisis Hospital Melaka, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Halim Abas berkata, kemalangan berlaku ketika motosikal ditunggang mangsa dalam perjalanan arah Sutera Wangi menghala ke Peringgit.
“Kereta Proton Saga yang dipandu suri rumah berusia 35 tahun pula dalam perjalanan hantar anak dan anak jiran ke sekolah dari arah Peringgit sebelum masuk ke simpang Taman Ikhsan, Batu Berendam.
“Ketika kereta berkenaan masuk simpang, motosikal yang datang dari arah bertentangan gagal mengelak dan membrek sebelum merempuh bahagian sisi kiri kereta,” katanya.
Beliau berkata, mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan badan sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
“Pemandu kereta serta tiga penumpang iaitu kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun, masing-masing seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun dan sembilan tahun mengalami kecederaan di bahagian kepala.
“Kesemua mereka dihantar ke Hospital Melaka untuk mendapatkan rawatan dan berada di Zon Hijau,” katanya.
Halim berkata, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Melaka untuk bedah siasat.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.