KOTA BHARU - Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V berkenan mengurniakan gelaran, darjah kebesaran, bintang, pingat dan surat kepujian kepada 767 penerima sempena Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan yang ke-57 pada Selasa.
Istiadat pengurniaan berlangsung di Istana Balai Besar di sini.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan dikurniakan Darjah Kebesaran Jiwa Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia (SJMK) yang membawa gelaran Datuk.
Terdahulu, Pengarah Urusan Sentosa Jaya Sdn Bhd, Datuk Razali Daud mendahului senarai penerima.
Turut menerima Darjah Kebesaran Kesateria Mahkota Kelantan Yang Amat Perkasa (SPKK) ialah Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Malek Razak Sulaiman dan Panglima Tentera Darat, Tan Sri Azhan Md Othman yang membawa gelaran Datuk.
Timbalan Ketua Setiausaha Perbendarahaan, Datuk Seri Ab Rahim Ab Rahman pula menerima Darjah Kebesaran Setia Mahkota Kelantan Yang Amat Terbilang (SPSK) membawa gelaran Datuk.
Pengerusi Apek Equity Berhad, Datuk Seri Farhash Wafa Salvador pula menerima Darjah Pahlawan Yang Amat Gagah Perkasa (PYGP).
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chetok, Zuraidin Abdullah dan Pengerusi Eksekutif Konsortium E-Mutiara Berhad, Che Ibrahim Che Ismail menjadi antara penerima Darjah Kebesaran Jiwa Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia (DJMK) yang membawa gelaran Datuk.